KUALA LUMPUR: Serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel ke atas Iran yang secara jelas melanggar undang-undang antarabangsa dibimbangi mencetuskan keruntuhan aturan dunia.
Presiden MERCY Malaysia, Datuk Dr. Ahmad Faizal Perdaus berkata, teladan AS yang menghormati konvensyen antarabangsa ketika terlibat dalam konflik sebelum ini ternyata tidak tercermin dalam pentadbiran Presiden Donald Trump ketika ini.
Advertisement
"Kita ada masalah dengan sikap yang diambil oleh AS; terutamanya pentadbiran Presiden Donald Trump. Sebelum ini kita boleh harapkan AS hormat secara terbuka kepada undang-undang kemanusiaan antarabangsa, konvensyen Geneva dan sebagainya.
“Sekarang kita tidak pasti, terutamanya apabila berlaku penggabungan antara AS dan Israel. Israel secara jelas dalam perang dan konflik sebelum ini; Hezbollah dan Hamas, tidak hormat undang-undang antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Dialog Tiga Penjuru pada Khamis.
Dalam pada itu, bekas Duta Besar Malaysia ke Lubnan, Datuk Dr. Ilango Karuppannan pula berpandangan, laras bahasa yang digunakan oleh pentadbiran AS ketika mengeluarkan kenyataan berkaitan operasi ketenteraannya juga tidak lagi menggambarkan bahasa diplomasi yang menjadi amalan dalam perhubungan antarabangsa.
“Kebiasaannya dalam diplomasi dan perhubungan antarabangsa, bahasa yang digunakan biasanya berlapik. Walaupun negara tersebut ada tujuan tertentu, mereka tetap gunakan bahasa yang sesuai dengan undang-undang dan norma-norma antarabangsa.
“Dalam hal ini, bahasa yang digunakan oleh AS tidak menggambarkan norma-norma dan undang-undang antarabangsa. Pentadbiraan AS secara jelas menyatakan bahawa serangan ke atas Iran semata-mata kerana tidak bersetuju dengan pentadbiran semasa Iran,” katanya.
Sejak Sabtu, AS dan Israel meneruskan serangan udara ke atas Iran yang telah mengorbankan lebih 1,200 orang awam.
Setakat Khamis, Markas Pemerintahan Pusat AS (CENTCOM) melaporkan lebih 20 kapal tentera laut Iran dan selain beberapa aset pertahanan udara telah dimusnahkan.