VIENNA: Austria mula menguatkuasakan larangan pemakaian tudung bagi pelajar perempuan Islam berusia bawah 14 tahun ketika sesi persekolahan baharu bermula di seluruh negara pada Isnin.
Undang-undang baharu itu melarang pemakaian penutup kepala yang diklasifikasikan sebagai pakaian tradisional Islam, termasuk hijab dan burka, di sekolah awam serta swasta di negara berkenaan.
Menteri Integrasi Austria, Claudia Bauer daripada Parti Rakyat Austria (OVP), mempertahankan langkah tersebut dengan menyatakan bahawa tudung merupakan simbol penindasan dan kawalan terhadap kanak-kanak perempuan sejak usia muda.
Kerajaan campuran pimpinan konservatif yang terdiri daripada OVP, Parti Demokratik Sosial (SPO) dan parti liberal Neos berkata undang-undang itu mencerminkan komitmen negara terhadap kesaksamaan gender serta bertujuan melindungi hak kanak-kanak perempuan.
Bagaimanapun, langkah itu menerima bantahan daripada komuniti Islam dan kumpulan hak asasi manusia yang mendakwa ia menyasarkan golongan Muslim secara khusus.
Wakil Komuniti Islam Austria (IGGO), Carla Amina Baghajati, berkata pertubuhan itu menentang larangan berkenaan kerana menganggapnya mencabuli kebebasan beragama dan memberi kesan tidak seimbang kepada pelajar perempuan Islam.
Menurut beliau, larangan tersebut berisiko meminggirkan golongan yang kononnya mahu dilindungi oleh kerajaan.
IGGO turut memaklumkan akan menyokong tindakan undang-undang oleh keluarga yang berpendapat hak asasi mereka telah dilanggar, termasuk membawa kes itu ke Mahkamah Perlembagaan Austria.
Pada 2020, mahkamah sama pernah membatalkan larangan pemakaian tudung di sekolah rendah dengan alasan ia bercanggah dengan prinsip berkecuali agama yang diamalkan Austria.
Di bawah undang-undang baharu itu, guru bertanggungjawab menguatkuasakan larangan menerusi sesi perbincangan dengan pelajar dan penjaga mereka.
Jika pelanggaran berulang kali berlaku, pihak kebajikan kanak-kanak boleh dimaklumkan dan penjaga berdepan denda sehingga 800 euro (kira-kira RM4,000).
Beberapa kesatuan guru turut menyuarakan kebimbangan terhadap tanggungjawab tambahan yang perlu dipikul bagi melaksanakan peraturan tersebut.
Sementara itu, Parti Hijau yang menjadi pembangkang mengkritik kerajaan kerana mewujudkan konflik baharu di sekolah dan meletakkan beban pelaksanaannya ke atas guru.
Dalam perkembangan berasingan, Parti Kebebasan Austria (FPÖ) yang berhaluan kanan pula berpendapat larangan sedia ada tidak mencukupi dan menggesa pengharaman menyeluruh terhadap pemakaian tudung serta penutup muka bagi pelajar dan guru di sekolah.
Austria menyertai beberapa negara Eropah seperti Perancis, Belgium dan Denmark yang telah melaksanakan sekatan terhadap pemakaian penutup muka penuh di tempat awam.
Namun, pengkritik menegaskan undang-undang Austria berbeza kerana ia secara khusus menyasarkan penutup kepala yang dipakai oleh wanita Muslim.
Isu itu dijangka terus mencetuskan perdebatan di Austria apabila pihak yang membantah bersedia mencabar kesahihan undang-undang berkenaan di mahkamah.