Skip to main content
Advertisement

Malaysia

72 peratus hospital utama catat purata tempoh tunggu katil di bawah lapan jam - Dzulkefly

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad ketika sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan sempena Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima, Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen hari ini.  - Foto Bernama
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad ketika sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan sempena Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima, Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama

Advertisement

Ringkasan AI

  • Kementerian Kesihatan memperhebat langkah jangka pendek dan panjang untuk mengurangkan kesesakan serta masa menunggu di fasiliti kesihatan awam seluruh negara.
  • Setakat Jun 2026, 71.8 peratus hospital utama mencatatkan purata masa menunggu katil di bawah lapan jam, meningkat berbanding 55.26 peratus tahun sebelumnya.
  • Inisiatif seperti HSOP, Lean Healthcare, hospital kluster, dan projek perintis cottage hospital serta step down sedang dilaksanakan untuk mengoptimumkan pengurusan pesakit.

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) memperhebat pelbagai langkah jangka pendek dan panjang bagi menangani isu kesesakan serta memendekkan masa menunggu pesakit di fasiliti kesihatan awam seluruh negara.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata hasil usaha berterusan itu menunjukkan peningkatan positif apabila hampir 72 peratus hospital utama negara berjaya mencatatkan purata masa menunggu katil di bawah lapan jam setakat Jun tahun ini, berbanding 55 peratus pada tahun sebelumnya.

"Sehingga Jun 2026, sejumlah 28 daripada 39 hospital bersamaan 71.8 peratus Jenis 1 dan 2 iaitu Hospital Negeri serta Hospital Pakar Major yang menerima jumlah pesakit yang ramai di Jabatan Kecemasan serta limpahan kes rujukan dari daerah sekeliling, telah mencatatkan purata masa menunggu katil bagi kemasukan ke wad dari Jabatan Kecemasan di bawah 480 minit di seluruh negara.

"Secara relatif, pencapaian ini adalah satu peningkatan berbanding tahun 2025 di mana 55.26 peratus hospital yang terlibat mencatatkan purata masa menunggu katil kurang dari 480 minit," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri  Aminuddin Harun (PH-Port Dickson) mengenai jumlah hospital kerajaan yang mengalami kesesakan berterusan di Jabatan Kecemasan serta purata tempoh menunggu bagi mendapatkan rawatan dan kemasukan ke wad, selain langkah konkrit kementerian bagi mengatasi isu berkenaan agar pesakit menerima rawatan segera.

Dzulkefly turut memaklumkan sejumlah 94 daripada 103 hospital atau 91.3 peratus bagi Jenis 3 dan 4 (Hospital Pakar Minor dan Hospital Tanpa Pakar) mencatatkan purata masa menunggu katil kurang daripada 240 minit.

Mengulas mengenai inisiatif penyuraian beban di hospital utama, beliau menjelaskan antara langkah jangka pendek yang telah dilaksanakan adalah Program Penyumberluaran Perkhidmatan Hospital (HSOP).

"Langkah jangka pendek ini adalah inisiatif penyumberluaran atau HSOP yang sejak 2024 melibatkan 14 perkhidmatan antaranya nefrologi dan kardiologi, sekali gus memberi manfaat kepada lebih 50,000 pesakit di 75 hospital KKM yang terlibat," katanya.

Bagi strategi pengurusan pesakit secara menyeluruh, kementerian turut memperkasakan inisiatif Lean Healthcare, pewujudan Unit Pengurusan Katil (BDU), perkhidmatan rawatan harian serta pendekatan hospital kluster.

Menjawab soalan tambahan Roslan Hashim (PN-Kulim-Bandar Baharu) berkaitan langkah alternatif bagi mengurangkan kesesakan fasiliti, Dzulkefly memaklumkan KKM kini giat meneroka projek perintis konsep cottage hospital dan prosedur step down.

"Ini termasuk usaha step down iaitu sejurus pesakit disahkan stabil, mereka dikenal pasti untuk ditempatkan di hospital daerah tanpa berkompromi dari sudut penjagaan.

"Begitu juga usaha kami melihat kembali konsep cottage hospital, khususnya di kawasan pedalaman seperti yang dipraktikkan di United Kingdom dan negara lain. Kita lihat di Sabah, Sarawak serta Semenanjung, klinik yang mempunyai keupayaan dan permintaan boleh dinaik taraf untuk menguruskan pesakit dalam (inpatient)," katanya.

Beliau menambah, KKM juga sedang melihat kepada pelaksanaan konsep Pengurusan Penjagaan Klinikal Bersepadu dan pembedahan global bagi membolehkan hospital tidak berpakar melaksanakan prosedur pembedahan tertentu tanpa komplikasi, sekali gus membantu mengurangkan kepadatan pesakit di hospital-hospital besar.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement