Skip to main content

Dunia

Badak air kerdil 'Moo Deng' ramal Argentina juarai Piala Dunia 2026

https://x.com/KhaokheowZoo/status/2078324459497517409/photo/2
Sebaik dilepaskan oleh penjaganya, badak air kerdil betina berusia dua tahun itu berjalan terus ke arah hidangan buah-buahan yang mewakili Argentina. -Foto X KhaokheowZoo
Advertisement

CHONBURI: Badak air kerdil popular dari Thailand, Moo Deng, meramalkan Argentina akan menewaskan Sepanyol dalam perlawanan akhir Piala Dunia 2026.

Ramalan secara simbolik itu dibuat menerusi satu aktiviti pengayaan haiwan yang diadakan di kandangnya di Zoo Terbuka Khao Kheow, Wilayah Chonburi, pada Sabtu.

Pengarah zoo, Narongwit Chodchoi, bersama pasukan pemakanan zoo menyediakan dua hidangan buah-buahan berbentuk bola sepak yang diukir dengan nama singkatan negara serta dihiasi bendera Argentina (ARG) dan Sepanyol (ESP).

Sebaik dilepaskan oleh penjaganya, badak air kerdil betina berusia dua tahun itu berjalan terus ke arah hidangan buah-buahan yang mewakili Argentina tanpa teragak-agak.

Pilihan tersebut mengundang sorakan dan gelak tawa para pengunjung yang hadir menyaksikan acara berkenaan.

 

 

Menurut pihak zoo, aktiviti itu diadakan sebagai sebahagian daripada program pengayaan haiwan dan hiburan untuk pengunjung.

Sebelum ini, Moo Deng yang pernah tular di media sosial meramalkan Perancis akan menewaskan Sepanyol serta memilih England untuk mengatasi Argentina pada peringkat separuh akhir, namun kedua-dua ramalan itu tidak menjadi kenyataan.

Pihak pengurusan zoo menegaskan program berkenaan dianjurkan bagi menceriakan pengunjung serta menyokong kesejahteraan haiwan, dan bukannya melibatkan sebarang bentuk pertaruhan rasmi.

 

Must Watch Video

Advertisement