Skip to main content

Dunia

AS bakal keluarkan syiling AS$1 menampilkan wajah Trump sempena ulang tahun ke-250 negara

The U.S. Mint has started producing a new $1 coin featuring President Donald Trump's image. (AP Graphic/Treasury Department)
Syiling AS$1 baharu yang memaparkan imej Presiden AS, Donald Trump, kini mula dikeluarkan oleh Kilang Wang Amerika Syarikat (US Mint) sempena sambutan ulang tahun ke-250 negara itu. - Foto AP
Advertisement

WASHINGTON: Kilang Wang Amerika Syarikat (US Mint) akan mula mengeluarkan syiling AS$1 yang memaparkan wajah Presiden Donald Trump sebagai sebahagian daripada sambutan ulang tahun ke-250 penubuhan negara itu, menurut Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent.

Reka bentuk syiling berkenaan memaparkan potret Trump pada bahagian hadapan bersama perkataan "Liberty", "In God We Trust" dan "1776-2026", manakala bahagian belakang menampilkan imej helang botak yang diambil daripada meterai rasmi presiden.

Reka bentuk itu merupakan semakan terhadap draf yang didedahkan kepada umum pada Oktober lalu.

Dalam draf terdahulu, bahagian belakang syiling memaparkan imej Trump mengangkat penumbuk dengan slogan "fight, fight, fight", merujuk kepada cubaan pembunuhan terhadap beliau semasa kempen pilihan raya 2024.

Trump menyambut baik keputusan itu dan menyifatkannya sebagai satu penghormatan.

"Mereka memberikan saya syiling. Setahu saya, perkara seperti ini amat luar biasa," katanya dalam temu bual dengan Fox Business.

Bagaimanapun, cadangan reka bentuk itu mencetuskan perdebatan mengenai kesahihannya dari sudut perundangan.

Pengkritik mempersoalkan sama ada syiling yang memaparkan potret individu yang masih hidup dibenarkan di bawah undang-undang Amerika Syarikat (AS).

Undang-undang yang digubal pada 1866 menetapkan bahawa potret individu yang masih hidup tidak boleh digunakan pada mata wang AS.

Namun, peruntukan itu merujuk kepada wang kertas yang dikeluarkan oleh Biro Ukiran dan Percetakan (Bureau of Engraving and Printing), sementara syiling dihasilkan oleh US Mint.

Pada 2020, Kongres meluluskan undang-undang yang memberi kuasa kepada Setiausaha Perbendaharaan untuk mengeluarkan syiling AS$1 sempena sambutan ulang tahun ke-250 AS.

Namun, undang-undang sama turut melarang penggunaan reka bentuk yang memaparkan individu yang masih hidup.

Sehingga kini, Jabatan Perbendaharaan AS belum mengeluarkan kenyataan lanjut berhubung persoalan perundangan yang dibangkitkan mengenai reka bentuk syiling tersebut.

 

Must Watch Video

Advertisement