BANGKOK: Malaysia dan Thailand akan menilai semula kerjasama dua hala serta memperkukuh pembangunan bersama di kawasan sempadan menerusi Mesyuarat Suruhanjaya Bersama Malaysia-Thailand ke-16 bagi Kerjasama Dua Hala (JC) dan Mesyuarat Menteri mengenai Strategi Pembangunan Bersama bagi Kawasan Sempadan Ketujuh (JDS), di sini, pada Selasa.
Kementerian Luar Thailand dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Mohamad Hasan akan mempengerusikan bersama kedua-dua mesyuarat itu bersama Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Thailand Sihasak Phuangketkeow di Bangkok.
Menurut kementerian, JC merupakan mekanisme utama untuk menilai kemajuan dan menetapkan hala tuju kerjasama dua hala dalam pelbagai sektor, manakala JDS memberi tumpuan kepada usaha memajukan pembangunan bersama di kawasan sempadan kedua-dua negara.
"Mesyuarat ini merupakan kesinambungan daripada JC ke-15 dan JDS ke-6 yang diadakan di Kuala Lumpur pada 6 Ogos 2024, selain menyusuli lawatan rasmi Perdana Menteri Thailand ke Malaysia pada 9 dan 10 Julai tahun ini.
"Mesyuarat berkenaan juga akan membantu dalam persiapan sambutan ulang tahun ke-70 hubungan diplomatik antara Malaysia dan Thailand pada 2027," menurut kenyataan yang dikeluarkan pada Isnin.
Kementerian Luar Thailand memaklumkan bahawa Mohamad, yang akan mengadakan lawatan kerja ke Thailand dari 27 hingga 28 Okt, turut dijadual mengadakan perbincangan dua hala dengan Sihasak mengenai bidang kerjasama utama dan perkembangan serantau.
"Perbincangan itu akan merangkumi pertukaran lawatan dan penganjuran aktiviti sempena ulang tahun ke-70 hubungan diplomatik, kerjasama keselamatan khususnya di wilayah sempadan selatan Thailand, pembangunan kawasan sempadan serta kerjasama pertahanan.
"Kerjasama ekonomi dan perdagangan, kesalinghubungan rentas sempadan serta kerjasama dalam kerangka ASEAN turut menjadi antara agenda perbincangan," menurut kenyataan itu.
Kedua-dua menteri luar juga dijangka bertukar-tukar pandangan mengenai perkembangan serantau, termasuk situasi di Myanmar serta isu berkaitan Thailand dan Kemboja.
-- BERNAMA