Skip to main content
Advertisement

Malaysia

'Saya rapat dengan mereka' - Wanita reda hilang anak sulung, bongsu sekali gus

Lebih 100 ahli keluarga, sahabat serta kenalan hadir pada hari pengebumian jenazah. -Foto Sinar Harian
Lebih 100 ahli keluarga, sahabat serta kenalan hadir pada hari pengebumian jenazah. -Foto Sinar Harian

Advertisement

KUALA KRAI: "Saya reda."

Demikian kata Seedah Arwae, 51, yang kehilangan anak sulung dan bongsu lelaki dalam satu kemalangan maut melibatkan tiga mangsa di Kilometer 90, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, berhampiran Bukit Bauk, Terengganu pada Ahad.

Dalam kejadian jam 5 petang itu, mangsa Mohamad Zulkefli Ishak, 32, yang merupakan anak sulung daripada lima beradik dan isteri, Norshila Zali, 36, maut di lokasi kejadian.

Adik bongsu, Muhammad Alif Syukri, 18, pula disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Dungun.

Semasa kejadian mereka sekeluarga dalam perjalanan pulang ke Kelantan selepas selesai menjemput Muhammad Alif Syukri yang menuntut di Politeknik Sultan Ahmad Shah (POLISAS), Kuantan, Pahang.

Menurut Seedah, dia masih terkejut dengan kejadian yang menimpa dua anaknya itu.

"Saya rapat dengan mereka. Dua anak sudah tiada, sekarang tinggal tiga orang sahaja," katanya ketika ditemui di Kampung Pasir Era di sini pada Isnin.

Bagaimanapun katanya, dia ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah membantu menguruskan jenazah kedua anaknya itu.

Jenazah Mohamad Zulkefli dan Muhammad Alif Syukri dikebumikan dalam satu liang lahat pada jam 12.40 tengah hari di Tanah Perkuburan Islam Pasir Era.

Sementara itu jenazah Norshila pula dikebumikan di kampung halamannya di Ketereh, Kota Bharu.

Lebih 100 ahli keluarga, sahabat serta kenalan hadir pada hari pengebumian berkenaan.

Media pada Ahad melaporkan hasrat tiga sekeluarga untuk pulang ke Kelantan tidak kesampaian apabila mereka maut dalam kemalangan di Kilometer 90, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, berhampiran Bukit Bauk, Terengganu pada Ahad.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, Mohamad Zulkefli dan isterinya, Norshila disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

Muhammad Alif Syukri pula menghembuskan nafas terakhir ketika menerima rawatan di Hospital Dungun. -Sinar Harian

 

Must Watch Video

Advertisement