KUALA LUMPUR: Kedutaan Malaysia di Sweden mengeluarkan amaran perjalanan untuk rakyat Malaysia yang tinggal atau melawat negara itu sebagai tindak balas terhadap peningkatan amaran keganasan ke tahap kedua tertinggi baru-baru ini.

Keputusan itu susulan rentetan penghinaan umum terhadap al-Quran, yang telah mencetuskan protes di pelbagai negara Islam dan ancaman daripada kumpulan militan.

Kedutaan melalui nasihat yang disediakan dalam akaun X, menasihatkan rakyat Malaysia supaya berhati-hati dan sentiasa berwaspada pada sepanjang masa. Sekiranya berlaku kecemasan, individu digesa untuk menghubungi talian 112 untuk mendapatkan bantuan.

"Rakyat Malaysia juga dinasihatkan untuk mendaftar dengan Kedutaan Malaysia di Stockholm bagi memudahkan perkhidmatan komunikasi dan konsular," katanya.

Kedutaan Besar Malaysia di Stockholm boleh dihubungi di talian berikut: Alamat: Karlavagen 37, 114 31 Stockholm, Sweden, Telefon: + 46 8440 8400/+46 73 536 9152 atau E-mel: [email protected].

Media antarabangsa telah melaporkan bahawa Perkhidmatan Keselamatan Sweden, yang dikenali sebagai SAPO, menaikkan "tahap ancaman keganasan" kepada peringkat tinggi iaitu keempat daripada lima tahap, buat kali pertama sejak 2016.

Tindakan itu mencerminkan kebimbangan Sweden bahawa pembakaran al-Quran secara berulang pada tahun ini oleh segelintir aktivis anti-Islam telah menjadikan negara Scandinavia itu sebagai sasaran utama pelampau Islam.

-- BERNAMA