Maurice Baker paling dikenang atas peranannya dalam menguruskan hubungan Singapura dengan Malaysia, negara kelahirannya, kata Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong.

"Mendiang mesra dengan semua empat PM (perdana menteri) sepanjang perkhidmatannya," kata Lee dalam catatan terkini Facebook beliau hari ini mengenai kematian Baker.

Baker, diplomat generasi perintis Singapura, kawan rapat Perdana Menteri kedua Malaysia, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, meninggal dunia petang semalam.

Lee berasa sangat sedih apabila mengetahui akan kematian Baker yang berlaku semasa beliau di luar negara.

Perdana Menteri kembali hari ini selepas melakukan lawatan kerja ke Jerman sejak 6 Julai lalu.

Dalam catatanya, Lee berkata Baker menggelarkan dirinya sebagai 'diplomat bidan terjun' namun mendiang 'sememangnya mempunyai bakat semula jadi dalam pergaulan dengan orang ramai.'

Lee berkata sepanjang tempoh perkhidmatannya yang panjang, Baker berkhidmat dalam pelbagai bidang, selaku guru, ahli akademik dan juga diplomat.

"Pada 1967, Maurice merupakan Ketua Kesusasteraan Inggeris di University of Singapore apabila beliau bersetuju menjadi pesuruhjaya tinggi pertama Singapura ke India, atas rasa tanggungjawab.

"Beliau kemudian menjadi pesuruhjaya tinggi ke Malaysia dan duta ke Filipina," kata Lee yang bercerita ringkas tentang latar belakang Baker.

Menurut Lee, diplomasi adalah turun-temurun dalam keluarga Baker.

Anaknya Bernard merupakan Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke New Zealand pada masa ini.

"Singapura kehilangan seorang penjawat awam yang berdedikasi dan 'Mr Baker' akan diingati atas perkhidmatannya yang cemerlang," kata Lee.

Baker merupakan Pesuruhjaya Tinggi ke Malaysia dari 1969 hingga 1971 dan dari 1980 hingga 1988.

Bernard dilaporkan berkata bapanya meninggal dunia kerana sakit tua di kediamannya sekitar tengah hari semalam.

"Mendiang menjalani kehidupan yang bagus, beliau menikmatinya," demikian Bernard dipetik berkata.

-- BERNAMA