Titi gantung Lata Rek: ICU JPM akan bincang dengan agensi teknikal esok

Titi gantung yang runtuh di Kampung Chatel Damai, Lata Rek, baru-baru ini. - Gambar/ Bernama
KUALA KRAI: Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) akan mengadakan mesyuarat bersama agensi teknikal, untuk berbincang mengenai jenis jambatan yang sesuai dibina bagi menggantikan titi gantung yang runtuh di Kampung Chatel Damai, Lata Rek, di sini, esok.
Ringkasan AI
- ICU JPM akan mengadakan mesyuarat bersama agensi teknikal untuk membincangkan pembinaan jambatan menggantikan titi gantung yang runtuh di Kampung Chatel Damai, Lata Rek.
- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan peruntukan disediakan segera bagi pembinaan jambatan baru selepas titi gantung runtuh, menyebabkan kecederaan dan kesukaran akses penduduk.
- Kerajaan Negeri Kelantan mengarahkan penyelarasan ICU JPM dan agensi terlibat untuk memastikan kerja pembinaan jambatan dilakukan dengan cekap dan segera berikutan insiden runtuhnya titi gantung tersebut.
Terdahulu, Timbalan Ketua Pengarah (Penyelarasan Projek Khas) ICU JPM Ross Rafizal Rosli meluangkan masa hampir satu jam, meninjau keadaan titi gantung di Chatel Damai, Lata Rek di sini yang runtuh pada 1 Jan, bersama beberapa agensi kerajaan, negeri dan penduduk kampung.
Pada Jumaat, Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan memaklumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan peruntukan disediakan bagi menggantikan segera titi gantung itu yang runtuh sehingga menyebabkan orang awam cedera serta menjejaskan akses harian penduduk sekitar.
Susulan pengumuman itu, Kerajaan Negeri Kelantan merakamkan penghargaan kepada Anwar dan telah mengarahkan Pejabat Tanah dan Jajahan Kuala Krai, untuk menyelaras segala urusan berkaitan bersama ICU JPM serta agensi terlibat bagi memastikan kerja itu disegerakan dan dilaksanakan secara teratur.
Khamis lepas, tular di media sosial suasana meriah majlis perkahwinan bertukar cemas apabila titi gantung dilalui tetamu tiba-tiba runtuh, sehingga menyebabkan beberapa orang terjatuh ke dalam Sungai Chatel Damai di Lata Rek
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


