Pihak berkuasa Bali melaporkan peningkatan kes jangkitan tempatan COVID-19 di pulau itu terutamanya di Badung, Denpasar, Klungkung dan Tabanan.

Ia disebabkan, antaranya, oleh tahap kesedaran yang masih rendah dalam kalangan penduduk berhubung protokol keselamatan dan kesihatan, kata Gabenor Bali I Wayan Koster.

Katanya lagi, dalam 25 kes baharu COVID-19 yang direkodkan di Bali pada Ahad, 24 merupakan kes jangkitan tempatan dengan hanya satu kes import.

“Kita perlu lebih berwaspada untuk mengelakkan penularan COVID-19 di Bali,” kata beliau menurut laporan portal Kompas.

Berdasarkan laporan pihak berkuasa, Bali mencatatkan 12 kes baharu pada Isnin, sekali gus menjadikan jumlah kumulatif adalah 594 dengan lima kematian.

Susulan itu, aktiviti membabitkan perhimpunan beramai-ramai termasuk aktiviti tradisional dan keagamaan adalah dilarang.

Pusat-pusat tumpuan pelancong turut ditutup bagi mengekang penularan wabak itu.

Pada 1 Jun, Agensi Pelancongan Badung membenarkan dua pantai, Canggu dan Labuan Sait, dibuka kepada golongan peluncur asing.

Keputusan itu bagaimanapun ditarik balik keesokan harinya.

Meskipun pelbagai larangan dikuat kuasa, pelancong masih mengerumuni pantai Canggu minggu lepas.