NEW DELHI: Empat pertubuhan sivik telah mencetuskan kontroversi apabila melarang penjualan makanan bukan vegetarian di tepi-tepi jalan di Gujarat, barat India.

Beberapa parti dan pertubuhan politik pembangkang mengkritik larangan itu kerana ia boleh menjejaskan kehidupan penduduk miskin serta bertentangan dengan hak rakyat untuk memakan apa jua makanan pilihan mereka, lapor Agensi Anadolu.

Pada Selasa, Perbadanan Perbandaran Ahmedabad mengalihkan gerai menjual makanan bukan vegetarian dari jalan-jalan utama di bandar itu.

Terdahulu, pertubuhan sivik berkenaan telah mengarahkan pekedai menutup makanan bukan vegetarian atau bakal berdepan tindakan pihak berkuasa. Pertubuhan tersebut turut mendakwa asap yang keluar dari gerai-gerai itu boleh menyebabkan bahaya kepada kesihatan.

Sementara itu, parti memeritah, Parti Bharatiya Janata (BJP) enggan masuk campur dalam perkara tersebut.

Presiden Parti Negeri CR Patil berkata: "Keputusan tersebut dibuat oleh pertubuhan sivik tempatan dan parti tidak ada kaitan dengan keputusan itu."

Gujarat ialah negeri tempat kelahiran Perdana Menteri Narendra Modi dan diperintah BJP sejak 1995 dan pengundian dijangka diadakan tahun depan di negeri berkenaan.

Sementara itu, Setiausaha Agung Jamiat Ulama-i- Hind, Hakimuddin Qasmi memberitahu Anadolu bahawa presiden BJP negeri telah menyatakan tiada keputusan sedemikian dibuat untuk melarang penjualan makanan bukan vegetarian.

"Perlembagaan India memberi kita hak untuk menikmati apa jua makanan yang menjadi pilihan kita dan tiada siapa boleh menghalang sesiapa daripada makan apa yang mereka mahu," katanya.

Seorang anggota kongres pembangkang berkata keputusan itu bertujuan untuk memecah-belahkan masyarakat menjelang pilihan raya tahun depan.

-- BERNAMA