BANGKOK: Ibu negara Thailand, Bangkok akan mempergiat pemeriksaan terhadap kenderaan, kilang dan tapak pembinaan selain menggunakan teknologi pemantauan canggih bagi menangani pencemaran zarah halus PM2.5 pada tahun depan.
Gabenor Bangkok Chadchart Sittipunt berkata langkah yang diumumkan menerusi inisiatif BKK Clean Air 2027 pada Khamis itu akan memberikan tumpuan kepada penguatkuasaan lebih ketat, pemantauan canggih serta usaha bersepadu merentas sektor bagi mengawal pencemaran daripada kenderaan, kilang, tapak pembinaan dan pembakaran terbuka.
"Menangani masalah PM2.5 memerlukan kerjasama semua sektor. Kita mesti mengawal sumber pencemaran secara serius, menjalankan pemeriksaan berterusan dan menguatkuasakan undang-undang dengan tegas," katanya ketika melancarkan inisiatif BKK Clean Air 2027 pada Khamis.
Chadchart berkata Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA) akan menggunakan Pusat Kawalan dan stesen pemantauan canggih yang dibangunkan dengan kerjasama Universiti Kasetsart bagi menganalisis sumber pencemaran, keadaan cuaca dan arah angin, sekali gus membolehkan pihak berkuasa memberikan tumpuan kepada kawasan berisiko tinggi dengan lebih berkesan.
Beliau berkata bandar raya itu juga akan menggalakkan penggunaan pengangkutan awam secara lebih meluas, menggantikan bas diesel lama dengan bas elektrik serta menggalakkan penyelenggaraan kenderaan secara berkala bagi mengurangkan pelepasan bahan pencemar.
Langkah bekerja dari rumah juga telah mengurangkan jumlah trafik kira-kira 10 peratus pada hari-hari tertentu, katanya.
"Bandar raya ini juga akan mempergiat pemeriksaan terhadap kilang dan tapak pembinaan, menggalakkan pelaksanaan zon pelepasan rendah serta bekerjasama dengan wilayah berjiran bagi mengurangkan pembakaran pertanian dengan menggalakkan kaedah alternatif untuk menguruskan sisa tanaman," katanya.
Chadchart turut menggesa penduduk memainkan peranan dalam mengurangkan pencemaran dengan mengehadkan penggunaan kenderaan persendirian, mengelakkan pembakaran terbuka serta melaporkan kenderaan yang mengeluarkan asap hitam dan pelanggaran peraturan alam sekitar yang lain.
BMA juga akan menyediakan amaran pencemaran udara tepat pada masanya, mewujudkan bilik dan bilik darjah bebas habuk serta memperkukuh perkhidmatan penjagaan kesihatan bagi melindungi golongan rentan.
-- BERNAMA