ANKARA: Bangladesh akan meneruskan usaha memperjuangkan hak rakyat Palestin, kata Perdana Menteri Sheikh Hasina ketika menyentuh mengenai ulang tahun ke-75 peristiwa Nakba, semasa berucap di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke-78, lapor Agensi Anadolu (AA).

"Sungguh membimbangkan apabila hak rakyat Palestin masih belum dipenuhi," kata Hasina pada Jumaat.

Beliau berkata Bangladesh bersedia memastikan keamanan dan keselamatan global dengan menyertai operasi pengaman PBB dan seramai 188,000 rakyat Bangladesh, termasuk wanita, berkhidmat dalam 55 operasi di 40 negara.

"Bangladesh mempunyai dasar toleransi sifar terhadap keganasan dan ekstremisme ganas. Tingkah laku yang mengganggu keharmonian sosial masyarakat pelbagai kepercayaan adalah jenayah yang serius," kata beliau.

Dalam ucapan itu, Hasina turut menyentuh mengenai isu pendatang Rohingya dan sudah hampir enam tahun mereka terpaksa meninggalkan rumah dan tanah air mereka sendiri.

"Pelarian Rohinya ingin pulang ke negara mereka dan tinggal di sana dengan aman," katanya.

Menyentuh mengenai krisis iklim, Hasina berkata Bangladesh antara negara yang paling terdedah akibat perubahan iklim.

Beliau berkata krisis global yang telah berlaku sejak beberapa tahun kebelakangan ini telah meningkatkan harga makanan, tenaga dan produk komersial, sambil merakamkan penghargaan kepada Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres atas penubuhan Food, Energy and Finance Global Crisis Response Group pada 2022.

Penubuhan kumpulan gerak kerja itu, antara lain bertujuan untuk membantu menangani masalah itu yang kini melanda seluruh dunia.

-- BERNAMA