Banjir: Hendak bersihkan rumah, tiada air.. Hendak punggah air, tiada tenaga
KUALA LUMPUR: Bagai sudah jatuh ditimpa tangga.
Ringkasan AI
- Mangsa banjir di Sumatera berdepan kesukaran mendapatkan air bersih dan tenaga elektrik untuk kerja pembersihan serta operasi telaga tiub.
- Harga bahan api tinggi dan pembelian panik menyebabkan bekalan diesel terhad, menjejaskan usaha menjana tenaga alternatif.
- Bencana banjir dan tanah runtuh mengorbankan sekurang-kurangnya 604 nyawa, dengan ratusan masih hilang dan ribuan cedera.
Pensyarah Fakulti Kejuruteraan Universiti Syiah Kuala , Surya Bermansyah menceritakan kesusahan yang dihadapi oleh penduduk yang terjejas banjir di Sumatera untuk memulakan kerja-kerja pembersihan dan mencari air bersih.
"Tidak ada tenaga elektrik untuk kerja-kerja pembersihan. Manakala untuk memunggah air pula tidak ada tenaga. Di Pidie Jaya, daerah yang paling dekat kami boleh jangkau, ada tiga unit penjana air bersih tetapi ketiga-tiganya tidak boleh digunakan.
“Maka masyarakat hendak ambil air dari mana? Hanya berharap kepada air yang dihantar dengan menggunakan lori. Kita cuba menggali telaga tiub tanpa perlu tunggu penghantaran bekalan air, tetapi tergendala kerana tidak ada tenaga elektrik untuk mengeluarkan air,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Selasa.
Tambah Pengasas Komuniti Warga Kota itu, penduduk yang hendak menggunakan diesel untuk menjana telaga tiub juga berdepan dilema, memandangkan harga bahan api yang tinggi dan jaminan bekalan yang tidak menentu.
Bahkan, beliau menceritakan pembelian panik telah menyebabkan stesen minyak di Aceh menyaksikan barisan kenderaan sepanjang dua kilometer.
"Setakat tengah hari ini, hanya masjid ketiga yang saya lawati ada air, dan kebetulan ada elektrik kerana giliran pengguna tenaga. Dua masjid sebelumnya tidak ada air dan tidak ada jemaah melainkan beberapa orang yang sudah berwuduk di tempat lain,” tambahnya.
Dalam temu bual sama, wartawan Kompas TV, Putra Perwira Lubis melaporkan, tinjauan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, telah memberi harapan usaha untuk memulihkan keadaan akan dilaksanakan dengan lebih cepat.
“Pemerintah perlu bersedia menghadapi bencana. Setiap bencana pasti ada cabaran baharu. Ketika ini ada cabaran infrastruktur; jalan, komunikasi dan elektrik. Tetapi persoalannya adalah mengenai keutamaan yang perlu diatasi terlebih dahulu. Ketika ini bantuan terus disalurkan,” ujarnya.
Setakat Selasa, Agensi Bencana Indonesia melaporkan peningkatan ketara angka korban susulan banjir besar dan tanah runtuh di Sumatera, dengan sekurang-kurangnya 604 kematian direkodkan.
Hujan lebat yang melanda sebahagian besar Sumatera minggu lalu menyebabkan air sungai melimpah, mencetuskan tanah runtuh dan menenggelamkan seluruh daerah.
Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB) memaklumkan bahawa 464 orang masih hilang, manakala 2,600 lagi cedera.
Agenda AWANI: Perkembangan Terkini Pasca Banjir Sumatera
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami




