Skip to main content

Dunia

Presiden Majlis Eropah nyatakan "solidariti penuh" dengan Sepanyol selepas ugutan AS

European Council President Antonio Costa speaks during a press conference after attending a special summit of European Union leaders to discuss transatlantic relations following U.S. President Donald Trump's threats to impose new tariffs on goods from a list of EU countries over his demand to acquire Greenland, in Brussels, Belgium January 23, 2026. REUTERS/Yves Herman/File Photo
Presiden Majlis Eropah Antonio Costa pada Rabu menyatakan “solidariti penuh” Kesatuan Eropah (EU) dengan Perdana Menteri Sepanyol Pedro Sanchez susulan ancaman daripada Amerika Syarikat (AS) berhubung pendirian Madrid terhadap Iran. - Gambar fail

BRUSSELS: Presiden Majlis Eropah Antonio Costa pada Rabu menyatakan “solidariti penuh” Kesatuan Eropah (EU) dengan Perdana Menteri Sepanyol Pedro Sanchez susulan ancaman daripada Amerika Syarikat (AS) berhubung pendirian Madrid terhadap Iran, lapor Anadolu Ajansi (AA).

“Saya baru sahaja mengadakan panggilan telefon dengan Presiden @sanchezcastejon untuk menyatakan solidariti penuh EU dengan Sepanyol,” tulis Costa di platform media sosial X.

Advertisement

Sanchez sebelum ini menolak “tindakan ketenteraan unilateral” yang dilaksanakan oleh AS dan Israel terhadap Iran, sambil memberi amaran bahawa langkah itu merupakan satu peningkatan ketegangan dan menyumbang kepada “orde antarabangsa yang lebih tidak menentu dan bermusuhan.”

Presiden AS Donald Trump kemudian memberi respons dengan mengugut untuk memutuskan perdagangan dengan Sepanyol serta menyifatkan negara itu sebagai sekutu yang “teruk”, selepas Madrid enggan membenarkan AS menggunakan pangkalan tenteranya di negara itu untuk menyerang Iran.

“EU akan sentiasa memastikan bahawa kepentingan negara anggotanya dilindungi sepenuhnya,” kata Costa.

Costa turut menegaskan semula “komitmen teguh” blok itu terhadap prinsip undang-undang antarabangsa serta orde berasaskan peraturan di seluruh dunia.

Israel dan AS pada awal Sabtu mengumumkan bahawa mereka melancarkan operasi ketenteraan bersama terhadap Iran dengan alasan ancaman yang didakwa berpunca daripada apa yang mereka sifatkan sebagai rejim Iran.

Tehran, yang menegaskan haknya untuk mempertahankan diri, bertindak balas dengan melancarkan serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan Israel serta tapak berkaitan AS di beberapa negara Teluk, sekali gus mendorong beberapa negara di rantau itu menutup sementara ruang udara masing-masing.

-- BERNAMA-ANADOLU

Must Watch Video