Angka kematian akibat banjir di Kerala, selatan India meningkat kepada 67 selepas 25 kematian lagi dilaporkan semalam, manakala lebih 50,000 penduduk terpaksa berlindung di kem penempatan sementara.

Kerala dilanda monsun setiap tahun namun ia lebih buruk pada tahun ini apabila ratusan perkampungan dinaiki air.

“Sebanyak 25 kematian disahkan petang tadi (semalam). Situasi amat buruk di kebanyakan tempat di negeri ini dan jumlah kematian dijangka terus meningkat,” kata seorang pegawai kanan dari Lembaga Pengurusan Bencana Negeri Kerala.

Amaran merah dikeluarkan di kesemua 14 daerah dengan hujan lebat diramalkan berterusan selama 24 jam lagi di kebanyakan tempat.

Sementara itu, Ketua Menteri Kerala, Pinarayi Vijayan berkata, Lapangan Terbang Kochi iaitu pintu masuk utama ke negeri itu akan ditutup sehingga Sabtu berikutan hujan lebat dan banjir yang melanda.

Perbincangan bersama pasukan penyelamat dan Perdana Menteri Narendra Modi diadakan bagi membincangkan situasi terkini di Kerala.