NEW DELHI: Berpuluh-puluh orang masih hilang selepas banjir kilat di India ketika jumlah kematian terus meningkat kepada sekurang-kurangnya 38 orang, lapor Agensi Berita dpa yang memetik laporan Times of India pada Jumaat.

Usaha menyelamat di negeri Sikkim, timur laut India yang bersempadan dengan China, Nepal dan Bhutan, menjadi rumit kerana cuaca buruk berterusan dan infrastruktur yang rosak.

Banjir itu memusnahkan banyak rumah dan jambatan selepas satu daripada ribut terburuk yang pernah disaksikan di wilayah itu dalam beberapa dekad.

Angka kematian berjumlah 14 orang pada Khamis tetapi terus meningkat.

Tentera India telah memberi amaran tentang senjata api dan bahan letupan yang dihanyutkan banjir selepas kem tentera terjejas banjir. Pasukan itu menggesa orang ramai menghubungi polis sebelum mengendalikan peralatan ketenteraan.

Dua orang maut selepas mereka cedera terkena mortar terapung di sungai Teesta, kata polis.

Hujan lebat bermula pada Rabu malam di Sikkim, membawa kepada peningkatan mendadak paras Sungai Teesta. Terdapat juga limpahan dari tasik glasier dan empangan pecah di kawasan pergunungan.

--BERNAMA-dpa