BEIJING: China akan menghantar pakar pengecaman identiti menerusi DNA ke kawasan dilanda bencana di Nepal, susulan banjir dan tanah runtuh besar yang melanda sempadan kedua-dua negara sejak seminggu lalu.
Jurucakap Kementerian Luar China, Guo Jiakun berkata, pakar berkenaan akan membantu Nepal menjalankan proses berkaitan di lokasi bencana.
Kumpulan kedua bekalan bantuan China turut dijangka dihantar bermula hari ini merangkumi dron, peralatan serta reagen ujian DNA, alat penulenan air dan kemudahan pencahayaan.
“China akan terus berdiri teguh bersama Nepal dan bekerjasama mengharungi waktu sukar ini. Persahabatan tradisi antara kedua-dua negara berjiran akan dibuktikan menerusi tindakan nyata,” katanya ketika sidang media di Beijing, hari ini.
Menurut Guo, China dan Nepal mengekalkan komunikasi dalam operasi mencari dan menyelamat, perkongsian maklumat serta usaha mencegah bencana susulan sejak tragedi itu berlaku.
Beijing juga terus membekalkan data meteorologi dan hidrologi, selain mengadakan rundingan teknikal serta menyalurkan maklumat amaran awal kepada Nepal.
“China akan terus memberikan sokongan padu terhadap usaha bantuan bencana Nepal, memperkukuh kerjasama dalam bidang pencegahan dan pengurangan risiko bencana, serta melindungi kepentingan bersama rakyat kedua-dua negara,” katanya lagi.
Bencana pada 26 Ogos lalu tercetus selepas runtuhan glasier menyebabkan aliran lumpur dan banjir membadai kawasan di Nepal serta Pelabuhan Gyirong di Xizang, China.
Perdana Menteri Nepal, Balendra Shah berkata, sekurang-kurangnya 939 orang terkorban manakala ribuan lagi masih hilang.
Di China, angka rasmi kekal 16 korban dengan 546 individu masih belum ditemukan.