KATHMANDU: Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) MAS-01 memulakan perjalanan dari Kathmandu ke Trishuli Bazar, Nepal, pagi Isnin bagi melaksanakan misi Bantuan Kemanusiaan dan Bantuan Bencana (HADR) di kawasan terjejas.
Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Meor Ismail Meor Akim, berkata pasukan berkenaan yang terdiri daripada 11 pegawai dan anggota bergerak pada jam 10 pagi waktu tempatan, dengan diiringi pasukan Tentera Nepal.
Katanya, pergerakan itu menggunakan sebuah lori seberat 10 tan dan dua kenderaan.
"Perjalanan sejauh kira-kira 70 kilometer (km) itu dijangka mengambil masa tiga jam, bergantung kepada keadaan jalan raya dan trafik," katanya ketika dihubungi Astro AWANI, pada Isnin.
Tambah Meor Ismail, setibanya di Trishuli Bazar, pasukan SMART akan menubuhkan Base of Operations (BoO) sebagai pusat operasi sebelum menerima tugasan daripada pasukan Tentera Nepal.
Menurut beliau, pasukan Tentera Nepal menerajui operasi pengurusan bencana di kawasan terjejas, manakala SMART akan melaksanakan tugasan mencari dan menyelamat mengikut keperluan di lapangan.
Pada Sabtu lalu, 11 pegawai dan anggota SMART berlepas ke Nepal menaiki pesawat A400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dari Subang, kira-kira pukul 9 pagi.
Pasukan itu turut membawa peralatan mencari dan menyelamat (SAR) bagi menyokong operasi di kawasan terjejas.
Setakat ini, lebih 5,000 individu masih dilaporkan hilang, manakala 1,300 lagi disahkan terkorban dalam bencana berkenaan.
Daripada jumlah yang masih hilang itu, 55 adalah rakyat Malaysia.