Skip to main content

Dunia

Banjir Nepal: Proses pengecaman ratusan mayat di Chitwan berdepan cabaran

Nepalese policemen watch as earthmovers clear the debris of flash flooding in Nepal's Nuwakot district, Thursday, Aug. 27, 2026. (AP Photo/Niranjan Shrestha)
Menurut Pejabat Pentadbiran Daerah Chitwan, sebanyak 233 mayat telah ditemukan setakat ini, namun hanya lapan berjaya dikenal pasti, manakala baki 225 lagi masih belum dapat dipastikan identiti. -Gambar fail/AP
Advertisement

CHITWAN: Proses pengecaman ratusan mayat mangsa banjir kilat akibat runtuhan glasier di Nepal kini berdepan cabaran besar berikutan keadaan sebahagian mayat yang mengalami pereputan teruk selepas dihanyutkan arus deras.

Menurut Pejabat Pentadbiran Daerah Chitwan, sebanyak 233 mayat telah ditemukan setakat ini, namun hanya lapan berjaya dikenal pasti, manakala baki 225 lagi masih belum dapat dipastikan identiti, lapor Nepal Views.

Pihak berkuasa berkata kebanyakan mayat yang ditemukan di sepanjang Sungai Trishuli dan Narayani berada dalam keadaan yang menyukarkan pengecaman secara visual.

Sehubungan itu, mayat yang belum dikenal pasti ditempatkan di pusat penyimpanan sementara di Bharatpur dan beberapa fasiliti kesihatan bagi membolehkan proses forensik dijalankan.

Polis Nepal berkata sampel DNA dan cap jari sedang dikumpul, manakala gambar mayat serta maklumat berkaitan dipamerkan bagi membantu waris membuat pengecaman.

Pejabat Pentadbiran Daerah Chitwan turut memaklumkan bahawa semua sampel DNA akan direkodkan sebelum mayat yang masih tidak dikenal pasti dikebumikan mengikut prosedur yang ditetapkan bagi mengelakkan risiko kesihatan awam akibat pereputan mayat.

Sementara itu, operasi mencari dan menyelamat diteruskan di beberapa kawasan yang terjejas akibat bencana banjir besar yang melanda sempadan Nepal dan Tibet sejak Rabu lalu.

Must Watch Video

Advertisement