WELLINGTON: Pihak berkuasa New Zealand pada Sabtu mengesahkan sekurang-kurangnya tiga orang maut manakala seorang lagi masih hilang selepad Auckland dilanda hujan lebat berterusan, sekali gus mencetus gangguan menyeluruh dalam jaringan perhubungan.

AP melaporkan, Perdana Menteri Chris Hipkins bergegas ke Auckland dengan pesawat tentera selepas status darurat diisytiharkan.

“Keutamaan kami adalah untuk memastikan penduduk Auckland selamat, termasuk menerima bantuan berupa tempat perlindungan dan akses kepada perkkhidmatan yang diperlukan,” ujar Hipkins.

Tambahnya, bandar itu perlu menjalani kerja pembersihan besar-besaran dan orang ramai diminta supaya tidak keluar rumah, jika boleh. Keadaan yang reda, menurut Hipkins, mungkin hanya sementara dan ramalan menunjukkan kecenderungan untuk lebih banyak hujan lebat berlaku.

“Kejadian ini tidak pernah terjadi sebelum ini,” kata Hipkins.

Agensi cuaca menyatakan bahawa Jumaat merupakan hari paling basah pernah direkodkan di Auckland
apabila jumlah hujan yang lazimnya diterima sepanjang musim panas kali ini melanda dalam satu hari.
Pada petang Jumaat, lebih 15 sentimeter hujan direkodkan dalam tempoh tiga jam di beberapa kawasan.

Hujan lebat berkenaan telah membuatkan lebuh raya ditutup dan aliran bah memasuki kawasan perumahan. Ratusan orang juga terperangkap di Lapangan Terbang Auckland semalaman selepas pihak pengurusan membatalkan semua penerbangan, selain beberapa bahagian terminal turut dinaiki air.

Sementara itu, polis turut menemui satu mayat lelaki di sebuah kawasan pintu air manakala satu lagi di kawasan parkir yang ditenggelami air. Seorang individu lagi dilaporkan masih hilang selepas dihanyutkan bah manakala ada laporan tentang mangsa tanah runtuh di pinggir bandar Remuera.

Hipkins kemudiannya membuat kenyataan rasmi dengan mengesahkan bahawa tiga orang terkorban manakala seorang lagi hilang. Katanya, bekalan elektrik sudah dikembalikan di kebanyakan kawasan, walaupun masih kira-kira 3,500 kediaman masih terputus bekalan.

Pengguna media sosial tempatan juga sudah ‘membanjiri’ akaun masing-masing dengan gambar dan video menunjukkan paras air yang naik hingga ke paras dada di beberapa kawasan terjejas.