KUALA LUMPUR: Kesemua 14 menara komunikasi yang terjejas akibat insiden vandalisme dan kecurian di Bukit Pilah kini telah kembali beroperasi sepenuhnya, sekali gus memulihkan semula perkhidmatan telekomunikasi di sekitar Kuala Pilah.
Dalam satu kenyataan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan, gangguan tersebut sebelum ini berpunca daripada kejadian kecurian peralatan penting di sebuah menara milik CelcomDigi Berhad yang turut memberi kesan rantaian kepada 13 menara lain.
Advertisement
"Insiden berkenaan menyebabkan keseluruhan 14 menara komunikasi terjejas dan mengganggu perkhidmatan kepada kira-kira 1,668 pengguna daripada pelbagai penyedia perkhidmatan telekomunikasi di kawasan terbabit.
"Bagaimanapun, kerja-kerja pemulihan segera telah dilaksanakan oleh CelcomDigi dengan pengaktifan semula menara secara berperingkat sehingga kesemua sistem kembali stabil dan berfungsi seperti biasa," menurut kenyataan itu.
MCMC dalam masa sama menegaskan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam vandalisme infrastruktur komunikasi, yang merupakan kesalahan di bawah Seksyen 235 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Sehubungan itu, orang awam turut disaran untuk menyalurkan maklumat kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) sekiranya mengesan sebarang aktiviti mencurigakan di kawasan menara komunikasi bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
MCMC tidak akan berkompromi terhadap sebarang tindakan yang menjejaskan infrastruktur komunikasi.