DUNIA
Bank Singapura kenakan 'tempoh bertenang' 24 jam bagi urus niaga mencurigakan

ABS berkata tempoh bertenang 24 jam itu memberi masa kepada mangsa untuk membatalkan urus niaga sekiranya mereka menyedari telah ditipu. - Gambar fail/Bernama
SINGAPURA: Perbankan runcit utama di Singapura akan melaksanakan pemantauan penipuan yang dipertingkatkan terhadap urus niaga digital bermula 15 Okt ini bagi melindungi pelanggan daripada menjadi mangsa penipuan dalam talian.
Persatuan Bank di Singapura (ABS) memaklumkan, di bawah langkah baharu itu, jika bank mengesan sesuatu akaun sedang dikosongkan dengan pantas akibat penipuan, sebahagian urus niaga mungkin ditahan selama 24 jam sebagai "tempoh bertenang" sebelum diluluskan, atau ditolak serta-merta.
Langkah perlindungan ini akan melibatkan akaun semasa dan akaun simpanan, termasuk akaun bersama, yang mempunyai baki sekurang-kurangnya S$50,000.
"Perlindungan ini akan diaktifkan apabila mencapai paras ambang tertentu - iaitu apabila sesuatu urus niaga, bersama-sama pengeluaran dalam tempoh 24 jam sebelumnya, mengakibatkan lebih 50 peratus daripada baki akaun dipindahkan keluar," jelas ABS.ABS berkata tempoh bertenang 24 jam itu memberi masa kepada mangsa untuk membatalkan urus niaga sekiranya mereka menyedari telah ditipu.
Perlindungan ini akan digunakan bagi semua urus niaga perbankan digital yang dilakukan melalui aplikasi bank dan perbankan internet.
Bagaimanapun, urus niaga bukan digital seperti pengeluaran tunai di cawangan bank dan mesin ATM tidak terjejas.
Beberapa urus niaga turut dikecualikan daripada perlindungan ini bagi mengelakkan gangguan kepada transaksi sah, antaranya arahan tetap berulang, pembayaran GIRO/eGIRO berulang, serta bayaran bil kepada organisasi yang diklasifikasikan sebagai organisasi bil oleh pihak bank.
ABS menjelaskan penipuan kekal sebagai kebimbangan, meskipun jumlah kes di Singapura menurun sebanyak 26 peratus pada separuh pertama tahun ini berbanding tahun sebelumnya, manakala jumlah kerugian akibat penipuan juga berkurang sebanyak 12.6 peratus.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami