POLIS Colombia menahan bapa kepada kanak-kanak Orang Asli yang menjadi tajuk utama akhbar di seluruh dunia pada bulan Jun lalu selepas terselamat dalam nahas pesawat dan hilang 40 hari di dalam hutan hujan Amazon.

Menurut Pejabat Peguam Negara, penahanan Manuel Ranoque di Bogota pada Jumaat lalu dibuat selepas diminta oleh pendakwa raya dan diluluskan oleh hakim.

Pihak berkuasa enggan memberikan butiran lanjut berhubung penahanan tersebut sehingga Ranouqe dibawa ke muka pengadilan, namun terdapat laporan bahawa lelaki itu dituduh melakukan penderaan seksual.

Difahamkan, selepas kesemua mangsa diselamatkan dari hutan, keluarga mendiang sebelah ibu mereka mula mengecam Ranouqe secara terbuka kerana melakukan penderaan seksual dan keganasan rumah tangga.

Institut Kebajikan Keluarga Colombia (ICBF) mempunyai hak penjagaan ke atas empat kanak-kanak bawah umur tersebut iaitu Lesly Mucutuy, Soleiny Mucutuy, Tien Noriel Ronoque Mucutuy dan Cristin Neriman Ranoque Mucutuy yang masing-masing berumur 13, sembilan, lima dan satu tahun.

Terdapat khabar angin mengatakan empat beradik itu menyembunyikan diri daripada pasukan penyelamat kerana takut dimarahi dan dipukul bapa mereka kerana tersesat di dalam hutan.

Datuk dan nenek sebelah ibu, Narciso Mucutuy dan María Fátima Valencia, mendakwa bahawa Ranoque memukul anak perempuan mereka dan menganiaya cucu mereka.

Kedua-duanya telah berjuang selama berminggu-minggu untuk hak penjagaan empat beradik tersebut.

Ranoque ialah bapa tiri kepada dua anak perempuan sulung dan bapa kepada dua anak bongsu.

Empat beradik itu ditemui lemah tetapi masih hidup selepas pencarian besar-besaran oleh kira-kira 200 tentera, sukarelawan dan pakar Orang Asli.

Pengarah ICBF, Astrid Cáceres memberitahu, keadaan empat beradik itu memuaskan dan sudah pulih serta tidak sabar untuk menyertai semula sistem pendidikan.

Ibu kepada empat beradik itu, Magdalena Mucutuy dilaporkan bertahan selama empat hari sebelum meninggal dunia akibat kecederaan.

Pada 1 Mei lalu, mendiang dan anak-anaknya serta dua individu dewasa lain menaiki pesawat yang meliputi laluan Araracuara (Caqueta) – San Jose del Guaviare, kawasan hutan Amazon dengan pilihan pengangkutan yang terhad, di mana perjalanan dalam pesawat kecil yang tidak menentu adalah perkara biasa.

Keluarga itu dalam perjalanan ke Bogota untuk bertemu Ranoque, yang telah melarikan diri dari kawasan simpanan Orang Asli di mana dia menjadi gabenor selepas melaporkan ancaman daripada Barisan Carolina Ramírez, salah satu kumpulan penentang gerila FARC yang kini tidak lagi aktif.

Selepas pesawat terhempas, kanak-kanak itu terpaksa bertahan dengan farina (tepung ubi kayu) dan makanan lain yang ditemui dalam bagasi salah seorang daripada si mati.

Apabila makanan mereka berkurangan, kanak-kanak tersebut memutuskan untuk mencuba dan mencari jalan keluar dari hutan, tempat yang penuh dengan haiwan liar dan gerila bersenjata.

Semasa pengembaraan mereka, kanak-kanak itu makan "chontaduro (buah sawit) dan mangga liar.

Lesly turut disifatkan sebagai berani dan pintar kerana pengetahuannya tentang hutan serta pemilihan barangan yang dibawa dari lokasi nahas seperti kain terpal, tuala, lampu suluh dan beberapa pakaian.

Pencarian oleh berpuluh-puluh orang dan beberapa anjing dikekang oleh keadaan sukar di dalam hutan hujan berlangsung selama 16 jam sehari.

Pasukan penyelamat melakukan perjalanan seluas lebih 2,600 kilometer (km) hanya untuk akhirnya menemui kanak-kanak itu kira-kira 5km dari bangkai pesawat.

Ranoque turut menyertai operasi pencarian tersebut dan beberapa minggu lalu dia memfailkan saman jutaan dolar terhadap syarikat Avianline Charters, pemilik pesawat yang terhempas. - Sinar Harian memetik agensi