DUNIA
Bekalan elektrik, internet, filem dijadikan alat strategik dalam pertikaian sempadan Kemboja-Thailand

Kemboja dan Thailand dijadual mengadakan mesyuarat Suruhanjaya Sempadan Bersama pada 14 Jun bagi membincangkan isu sempadan yang sensitif itu secara menyeluruh. - Google Map
PHNOM PENH: Di tengah-tengah ketegangan berterusan di sempadan dengan Thailand, Kemboja mengambil langkah memastikan bekalan elektrik dan internet sendiri susulan ancaman pemotongan perkhidmatan itu, dengan Perdana Menteri Hun Manet menegaskan bahawa keselamatan tenaga negara itu tidak akan dikompromi.
Langkah itu diambil susulan laporan di media sosial yang mendakwa beberapa kumpulan di Thailand mendesak pihak berkuasa memotong bekalan elektrik dan internet ke Kemboja, susulan insiden pertempuran di sempadan Wilayah Preah Vihear pada 28 Mei yang dilaporkan telah mengorbankan seorang askar Kemboja.
"Bagi mengelak pihak Thailand berada dalam dilema sama ada untuk meneruskan pemotongan atau tidak, Kemboja memutuskan untuk menjamin bekalan elektrik dan internetnya sendiri," kata Hun Manet dalam hantaran di Facebook pada Khamis malam.
Sementara itu, bekas Perdana Menteri Kemboja Hun Sen menggesa kerajaan mempertimbangkan untuk menggantung siaran filem Thailand dan menghentikan import barangan dari negara itu."Saya sentiasa menyeru agar pertikaian ketenteraan tidak merebak dari satu wilayah ke wilayah lain, mahupun ke sektor lain.
Jika ini keterlaluan, saya ingin menasihatkan kerajaan agar selain mengambil tindakan undang-undang di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), Kemboja perlu mempertimbang menghentikan semua siaran filem Thailand di saluran televisyen Kemboja dan mungkin menghentikan terus import barangan Thailand ke negara ini," kata Hun Sen yang kini Presiden Senat, dalam hantaran di Facebook pada Khamis.
Kemboja dan Thailand dijadual mengadakan mesyuarat Suruhanjaya Sempadan Bersama pada 14 Jun bagi membincangkan isu sempadan yang sensitif itu secara menyeluruh.
Dalam satu lagi hantaran di media sosial pagi ini, Hun Sen turut menggariskan enam langkah lain sekiranya Thailand enggan membuka semula pos-pos kawalan sempadan, menurut laporan Fresh News.
Langkah itu termasuk - menggantung import barangan dari Thailand, membeli hasil pertanian yang sebelum ini dieksport ke Thailand, mendapatkan rawatan perubatan di hospital tempatan atau negara lain, membuat persediaan menerima kepulangan pekerja migran, meningkatkan kesiapsiagaan pasukan keselamatan dan memastikan penduduk di kawasan sempadan bersedia berpindah ke zon lebih selamat.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami