Bekalan minyak bukan OPEC dijangka meningkat susulan tindakan AS di Venezuela - Pakar

Dalam laporan bulanan terbaharu, OPEC menganggarkan pengeluaran minyak mentah Venezuela sekitar 1.1 juta tong sehari (bpd). - Gambar hiasan/AP
WASHINGTON: Lebihan bekalan minyak global berkemungkinan melebihi paras yang diunjurkan sebelum ini bagi tahun ini, sekali gus menimbulkan cabaran baharu kepada Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) apabila Venezuela dilihat bersedia meningkatkan pengeluaran minyak mentah di bawah kawalan Amerika Syarikat (AS), kata pengulas pasaran tenaga John Kilduff kepada RIA Novosti.
Kilduff, rakan kongsi dana lindung nilai tenaga di New York, Again Capital, berkata OPEC berkemungkinan dibanjiri oleh lonjakan baharu bekalan daripada negara bukan OPEC yang memasuki pasaran.
Susulan penahanan Presiden Venezuela Nicolas Maduro dan isterinya pada Sabtu, pentadbiran Presiden AS Donald Trump mengumumkan bahawa Washington akan menguruskan negara Amerika Latin itu termasuk perdagangan minyaknya.
Dalam laporan bulanan terbaharu, OPEC menganggarkan pengeluaran minyak mentah Venezuela sekitar 1.1 juta tong sehari (bpd). OPEC turut menyatakan bahawa China secara konsisten menyerap antara 75 hingga 80 peratus eksport minyak mentah Venezuela, dianggarkan sekitar 900,000 tong sehari, manakala baki 200,000 tong sehari ditapis dalam negara menjadi bahan api.
Kilduff berkata dengan sokongan penuh AS, pengeluaran Venezuela berpotensi meningkat tambahan 200,000 tong sehari dalam tempoh tiga bulan akan datang. Selepas itu, pengeluaran dijangka meningkat secara purata antara 25,000 hingga 50,000 tong sehari setiap bulan. Secara keseluruhan, pengeluaran boleh mencecah paras tertinggi sekitar 1.75 juta tong sehari menjelang akhir tahun, atau peningkatan 60 peratus berbanding paras semasa.
Lapan pengeluar minyak dalam OPEC+ dijadualkan mengadakan mesyuarat pada Ahad bagi menilai keputusan mereka membekukan peningkatan pengeluaran pada suku pertama tahun ini. OPEC+ merupakan pakatan 22 negara yang merangkumi 12 anggota OPEC dan 10 negara pengeluar minyak lain.
Lapan negara OPEC+ itu membentuk kumpulan teras yang paling berpengaruh dalam pakatan berkenaan dan kumpulan inilah yang menambah hampir 3 juta tong sehari kepada bekalan global tahun lalu dengan mengutamakan penguasaan pasaran berbanding harga.
Perkembangan di Venezuela itu, menurut Kilduff, boleh menjadi cabaran baharu kepada OPEC, lebih-lebih lagi apabila pengeluaran minyak AS sendiri mencapai paras tertinggi rekod sebanyak 13.9 juta tong sehari pada 2025. Selain itu, Brazil mencatatkan pengeluaran puncak sebanyak 4.03 juta tong sehari manakala Guyana mencapai sekitar 900,000 tong sehari.
OPEC dan Pentadbiran Maklumat Tenaga AS menyatakan bahawa Venezuela memiliki rizab minyak terbukti terbesar di dunia, dianggarkan sekitar 303 bilion tong atau hampir satu perlima daripada keseluruhan rizab minyak mentah terbukti dunia. Namun, bagi mengembalikan pengeluaran Venezuela ke paras kegemilangannya sekitar 3.5 juta tong sehari, pelaburan antara kira-kira AS$58 bilion dolar hingga lebiih AS$110 bilion diperlukan, menurut pakar.
Syarikat penggerudian minyak Amerika Syarikat, ExxonMobil dan ConocoPhillips, telah disingkirkan daripada kontrak perkongsian pengeluaran di Venezuela pada 2007. Sehingga kejadian pada Sabtu, Chevron merupakan satu-satunya syarikat minyak AS yang beroperasi di Venezuela secara terhad menerusi perkongsian pengeluaran.
Penyingkiran syarikat minyak utama AS itu, menurut pengkritik Trump, memberi alasan kepada presiden AS untuk mendakwa bahawa Venezuela telah merampas minyak AS, sedangkan mereka berhujah bahawa Washington kini merampas sumber milik negara Amerika Latin itu sendiri.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


