VIENNA: Seorang bekas pegawai perisikan Austria dijatuhi hukuman penjara lebih empat tahun pada Rabu selepas didapati bersalah mengintip untuk Rusia, dalam kes pengintipan berprofil tinggi terbesar negara itu dalam beberapa dekad.
Egisto Ott, 63, dijatuhi hukuman penjara selama empat tahun satu bulan atas kesalahan mengintip terhadap Austria, penyalahgunaan kuasa dan rasuah.
Beliau sebelum ini berdepan hukuman maksimum lima tahun penjara, namun telah mengemukakan rayuan dan hukuman tersebut belum muktamad.
Seorang lagi ejen perisikan Austria yang membantu sebahagian operasinya dijatuhi hukuman penjara gantung selama 15 bulan.
Ott menafikan semua pertuduhan dan telah dibicarakan di mahkamah ibu negara Austria sejak 22 Januari berhubung aktiviti yang didakwa dilakukan tanpa mandat antara 2015 hingga 2022, menurut pihak pendakwa.
Pendakwaan sebahagiannya bergantung kepada bukti yang diberikan oleh sebuah negara Barat yang mendedahkan kegiatan Ott, selain keterangan daripada seorang saksi dari Britain.
Sepanjang perbicaraan, juri sebulat suara mendapati beliau bersalah selepas dimaklumkan bahawa Ott mengemukakan permohonan bantuan kepada pihak berkuasa di Itali dan United Kingdom bagi mendapatkan maklumat demi kepentingan Rusia dan bukan Austria.
Beliau juga didakwa bertindak atas arahan Jan Marsalek, bekas eksekutif kumpulan Jerman Wirecard yang kini dikehendaki atas tuduhan penipuan dan dipercayai berlindung di Rusia serta disyaki mempunyai hubungan dengan perisikan negara itu.
Ott sebelum ini menegaskan, beliau tidak bersalah dan menolak semua tuduhan termasuk penyalahgunaan kuasa, rasuah dan pengintipan yang memudaratkan Austria.
“Saya tidak pernah menjual atau menyerahkan maklumat kepada perkhidmatan perisikan Rusia dalam apa jua cara,” katanya, sambil menambah beliau bertindak mengikut undang-undang serta arahan pihak atasan.
Menurut kertas pertuduhan, tindakan Ott berisiko menyebabkan “kerosakan serius” terhadap reputasi Austria dalam kalangan agensi perisikan negara sekutu.
Didakwa guna data Eropah, serah maklumat sensitif
Bagi mengumpul maklumat, Ott didakwa menggunakan pangkalan data Eropah dan mengemukakan permintaan bantuan kepada Itali serta Britain, yang akhirnya menyebabkan negara-negara tersebut “tanpa sedar bertindak demi kepentingan” Moscow.
Pendakwa turut menuduh beliau menyerahkan beberapa telefon milik pegawai kanan Kementerian Dalam Negeri Austria, sekali gus membuka akses kepada ribuan kenalan kepada pihak Rusia dan menjejaskan keselamatan pelarian Ukraine serta Chechnya di Austria.
Selain itu, beliau juga didakwa menyerahkan komputer riba yang dilengkapi sistem komunikasi sulit kepada agensi keselamatan Rusia, sebelum dipercayai dijual kepada Iran.
Ott turut dituduh membocorkan maklumat individu berisiko dibalas dendam, termasuk bekas ejen Rusia yang mendapatkan perlindungan di luar negara.
Penyiasat juga menemui dokumen yang didakwa ditulis Ott susulan pembunuhan seorang lelaki warga Georgia berketurunan Chechnya di Berlin pada 2019.
Dokumen tersebut digelar pendakwa sebagai “manual operasi pembunuhan” bagi kegunaan masa depan di wilayah Kesatuan Eropah.
Ott sebelum ini digantung daripada perkhidmatan perisikan Austria pada 2017.
Beliau juga pernah dibicarakan dan dibebaskan daripada pertuduhan melanggar kerahsiaan rasmi kerana didakwa menyalurkan maklumat kepada ahli politik berhaluan kanan.
Austria dilihat “sarang perisik”?
Austria yang sebelum ini dilihat sebagai jambatan antara Moscow dan Barat serta menjadi tuan rumah kepada beberapa organisasi antarabangsa, sering digambarkan sebagai pusat aktiviti perisikan Rusia.
Kira-kira 220 anggota kedutaan Rusia ditempatkan di Austria, menjadikannya antara misi diplomatik terbesar Moscow di Eropah.
Kehadiran itu menjejaskan hubungan Austria dengan agensi perisikan asing dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Kerajaan campuran Austria kini berikrar untuk memperketat undang-undang bagi membanteras kegiatan pengintipan, termasuk menjadikannya kesalahan jenayah jika menyasarkan Kesatuan Eropah atau organisasi antarabangsa serta merekrut ejen bagi pihak asing. - Agensi