Skip to main content

Malaysia

Usahawan bumiputera perlu berani rebut peluang, sedia lakukan perubahan

MELAKA, 16 Nov -- Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan (tengah) menerima replika cek Biasiswa Khas Pembangunan Akreditasi berjumlah RM4.7 juta yang disampaikan Penasihat Kuala Lumpur International Education Consortium (KLIEC) Berhad Datuk Rosnah Majid (kiri) hari ini._BERNAMA
Fairul Nizam berkata program yang menghimpunkan barisan kepimpinan MARA, tokoh perniagaan, usahawan serta komuniti setempat melalui pelbagai sesi perkongsian amat bertepatan dalam memperkukuh agenda ekonomi dan keusahawanan bumiputera. - Foto BERNAMA

MELAKA: Usahawan bumiputera perlu berani melangkah ke hadapan, merebut peluang serta bersedia melakukan perubahan dalam dunia perniagaan yang semakin kompetitif dan bergerak pantas.

Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi negeri Datuk Fairul Nizam Roslan berkata mereka perlu mengubah minda daripada berniaga untuk kelangsungan hidup kepada membina perniagaan yang mampu berkembang, mencipta peluang pekerjaan dan memberi impak kepada masyarakat.

“Dalam era hari ini, usahawan perlu pantas menyesuaikan diri, kreatif dan berani mengambil peluang berdasarkan situasi serta keperluan semasa, di samping peka terhadap aspek penjenamaan, inovasi dan teknologi digital dalam memasarkan produk mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Gerakan Ekoniaga MADANI (GEMA) 2026 Peringkat Negeri Melaka anjuran Majlis Amanah Rakyat (MARA) dengan kerjasama Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) di sini pada Rabu.

Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah MARA Zahari Aziz, Timbalan Presiden DPMM Amirhamzah Karim, Pengarah MARA Melaka Shah Zulmizan Safar dan Yang Dipertua DPMM Melaka Farosham Naizamohideen.

Antara pengisian program ialah Bual Bicara Kepimpinan dan Agenda Keusahawanan; “The Founders Circle: Dari Jenama Biasa ke Ikon Pasaran – Membina, Mengukuh dan Menskalakan Jenama dalam Realiti Pasaran Hari Ini” serta Sembang Santai Inspirasi bersama Datuk Chef Wan.

Fairul Nizam berkata program yang menghimpunkan barisan kepimpinan MARA, tokoh perniagaan, usahawan serta komuniti setempat melalui pelbagai sesi perkongsian amat bertepatan dalam memperkukuh agenda ekonomi dan keusahawanan bumiputera.

“Program ini juga menjadi platform strategik dalam memperluas jaringan kerjasama dan perkongsian ilmu melalui sesi forum bagi memperkasakan serta memotivasikan usahawan yang hadir untuk meningkatkan lagi perniagaan mereka,” katanya.

Beliau berharap agar semua peserta mengambil kesempatan untuk mengumpul maklumat serta menimba pengalaman melalui sesi yang telah disusun, seterusnya mengaplikasikan ilmu tersebut ke arah melonjakkan lagi perniagaan masing-masing.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement