TOKYO:Bekas Menteri Pengangkutan Jepun, Yuichiro Hata, disahkan meninggal dunia akibat jangkitan COVID-19 pada usia 53 tahun pada Ahad.

Hata yang menjadi menteri pada 2012 dan merupakan anak kepada bekas Perdana Menteri (PM) Tsutomu Hatawa, menjadi penggubal undang-undang pertama maut akibat virus itu.

Sementara itu, pada Isnin, Jepun mengumumkan menutup pintu antarabangsa kepada bukan warganegara susulan pengesanan varian baharu virus yang terbukti mempunyai kadar jangkitan lebih tinggi dan menyebabkan peningkatan kes mendadak di United Kingdom (UK), negara pertama ia mula dikesan.

Varian koronovirus baharu yang mampu menyebabkan jangkitan 70 peratus lebih berkesan itu kini telah dikesan di Korea Selatan, Singapura, Hong Kong dan Australia.

Dalam pada itu, Perdana Menteri, Yoshihide Suga, mengarahkan agar rakyat negara itu kekal tenang menjelang musim percutian tahun baharu, namun menggesa semua menteri yang terbabit dengan operasi mengawal COVID-19 agar berwaspada.

“Virus itu tidak kira musim percutian, oleh itu saya menggesa agar menteri berkenaan meningkatkan tahap persediaan dan melakukan tugas mereka dengan teliti,” kata Suga dalam persidangan pasukan petugas khas operasi kerajaan Jepun.

“Tiada bukti yang menunjukkan vaksin yang sudah mula diedarkan di negara luar tidak berkesan mengelak jangkitan varian virus.

"Bagaimanapun langkah-langkah untuk mengelak jangkitan masih tidak berubah dengan langkah-langkah mengelak varian virus sebelum ini,” tambahnya.

Jepun sedang dilanda gelombang COVID-19 ketiga dan merekodkan kes harian tertinggi dalam rekod iaitu 3,881 pada Sabtu.