Skip to main content
Advertisement

Dunia

Bekas penerbit filem Hollywood, Harvey Weinstein sekali lagi didapati bersalah, dipenjara 15 Tahun dalam kes serangan seksual

Harvey Weinstein appears in Manhattan Supreme Court to be sentenced for sexual assault in New York City, US, September 23, 2026. Dean Moses/Pool via REUTERS
Dalam rayuan terakhirnya untuk mendapatkan hukuman lebih ringan, Weinstein yang hadir di mahkamah dengan kerusi roda kerana masalah kesihatan merayu belas ihsan hakim. - Gambar Reuters
Advertisement

NEW YORK: Bekas penerbit filem Hollywood yang tercalar reputasinya, Harvey Weinstein sekali lagi dijatuhi hukuman penjara 15 tahun selepas didapati bersalah melakukan serangan seksual terhadap bekas pembantu produksi, Miriam Haley.

Keputusan itu dibuat mahkamah di Manhattan pada Rabu, selepas juri mendapati Weinstein bersalah dalam perbicaraan semula pada 2025 berhubung serangan seksual yang berlaku pada 2006.

Weinstein, 74, didakwa memaksa Haley melakukan seks oral ketika beliau berada pada kemuncak pengaruhnya dalam industri hiburan Amerika Syarikat.

Sebelum ini, beliau dijatuhi hukuman penjara 23 tahun pada 2020 atas kesalahan sama. 

Bagaimanapun, sabitan itu dibatalkan oleh mahkamah rayuan pada 2024 sebelum kes berkenaan dibicarakan semula.

Dalam rayuan terakhirnya untuk mendapatkan hukuman lebih ringan, Weinstein yang hadir di mahkamah dengan kerusi roda kerana masalah kesihatan merayu belas ihsan hakim.

“Saya bukan seorang yang ganas, berilah sedikit belas kasihan,” katanya.

Beliau turut memohon maaf kepada mana-mana pihak yang mungkin terkesan dengan tindakannya, namun pada masa sama terus mengekalkan pendirian bahawa dirinya tidak bersalah.

Selepas hukuman dijatuhkan, jurucakapnya, Juda Engelmayer memaklumkan, Weinstein bercadang mengemukakan rayuan terhadap sabitan dan hukuman terbaharu itu.

Menurutnya, Weinstein kini bukan sahaja dihukum atas kesalahan yang disabitkan terhadapnya, malah turut dibayangi persepsi umum yang tercetus susulan gerakan #MeToo.

Hakim Curtis Farber ketika menjatuhkan hukuman menyifatkan Weinstein sebagai “pemangsa seksual” yang gagal mengambil tanggungjawab terhadap perbuatannya.

“Anda memiliki segala-galanya. Legasi anda boleh dikenang sebagai satu kejayaan besar, tetapi semuanya musnah kerana tindakan anda terhadap Miriam Haley,” kata Farber.

Pihak pendakwaan sebelum ini menuntut hukuman penjara selama 20 tahun, manakala pasukan pembelaan memberi amaran bahawa hukuman yang lebih berat berkemungkinan menyebabkan Weinstein meninggal dunia di dalam penjara.

Selepas prosiding, Haley berkata, beliau berpuas hati dengan keputusan mahkamah.

“Pada pandangan saya, hukuman 15 tahun itu adalah adil. Saya gembira dengan keputusan ini,” katanya.

Ketika memberi keterangan sebelum ini, Haley memaklumkan bahawa beliau mengalami gangguan tekanan pascatrauma (PTSD) dan menyifatkan kesan yang ditanggung akibat serangan seksual itu seperti “hukuman penjara seumur hidup.”

Beliau turut mendakwa, Weinstein menyalahgunakan kedudukan dan pengaruhnya dalam industri hiburan.

“Saya berasa malu kerana dia menganggap saya begitu tidak penting sehingga berani melakukan perkara seperti itu terhadap saya,” katanya.

Peguam Daerah Manhattan, Alvin Bragg pula memuji keberanian Haley yang disifatkannya memberikan keterangan yang berkesan serta menyentuh emosi sepanjang perbicaraan berlangsung.

Weinstein pernah dianggap antara individu paling berkuasa di Hollywood, dengan keupayaan menentukan kejayaan sesebuah projek filem dan kerjaya artis.

Namun, siri pendedahan oleh media termasuk The New Yorker dan The New York Times mengenai dakwaan salah laku seksualnya mencetuskan gelombang gerakan #MeToo pada 2017.

Sejak itu, lebih 80 wanita tampil membuat pelbagai dakwaan salah laku seksual terhadapnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Weinstein turut berdepan hukuman semula di California selepas mahkamah rayuan mengekalkan sabitan kes rogol dan serangan seksual terhadap seorang pelakon wanita di sebuah hotel di Los Angeles pada 2013, walaupun hukuman penjara 16 tahun sebelum ini dibatalkan.

Beliau juga pernah berdepan satu lagi perbicaraan di New York melibatkan dakwaan serangan seksual terhadap pelakon Jessica Mann. Namun, hakim mengisytiharkan perbicaraan itu sebagai batal selepas juri gagal mencapai keputusan sebulat suara.

Pendakwa raya kemudian mengesahkan mereka tidak akan meneruskan perbicaraan kali keempat dalam kes melibatkan Mann.

Mann hadir ke mahkamah pada Rabu sebagai tanda sokongan kepada Haley bersama pelakon kelahiran Poland, Kaja Sokola, yang mana Weinstein dibebaskan daripada pertuduhan serangan seksual terhadapnya dalam perbicaraan semula pada 2025. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement