Skip to main content

Malaysia

Trafik perlahan di beberapa lebuh raya utama

Jurucakap LLM menasihatkan pengguna lebuh raya supaya merancang perjalanan, sentiasa fokus ketika memandu serta mengekalkan jarak selamat dengan kenderaan di hadapan. - Gambar fail
Jurucakap LLM menasihatkan pengguna lebuh raya supaya merancang perjalanan, sentiasa fokus ketika memandu serta mengekalkan jarak selamat dengan kenderaan di hadapan. - Gambar fail
Advertisement

KUALA LUMPUR: Trafik bergerak perlahan di beberapa lokasi di lebuh raya utama malam ini susulan peningkatan jumlah kenderaan apabila orang ramai mula bergerak pulang selepas cuti sambutan Deepavali berakhir.

Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata setakat 8 malam ini, antara lokasi terjejas di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) E1 arah utara ialah dari Bidor ke Tapah, Kuala Kangsar ke Changkat Jering, Bukit Merah ke Bandar Baharu, Jawi ke Bandar Cassia dan Juru ke Perai.

“Bagi arah selatan E1, trafik perlahan dilaporkan dari Kepala Batas ke Plaza Tol Hutan Kampung, Gurun ke Sungai Petani Selatan, Sungai Dua ke Perai, Juru ke Bukit Tambun, Jawi ke Alor Pongsu, Gopeng ke Slim River serta Behrang ke Rawang,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Advertisement

Sementara itu, di PLUS E2 arah utara, trafik perlahan berlaku dari Jasin ke Ayer Keroh, Simpang Ampat ke Senawang, Port Dickson ke Seremban, Simpang Ampat ke Pedas Linggi, Putera Mahkota ke Bangi serta Plaza Tol Sungai Besi ke Pusat Bandar.

“Bagi arah selatan E2 pula, lokasi yang terjejas ialah Seremban ke Pedas Linggi, Pagoh ke Machap serta Simpang Renggam ke Senai Utara,” katanya.

Advertisement

Trafik arah selatan di Tambak Johor juga dilaporkan perlahan dari Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sultan Iskandar ke CIQ Woodlands.

“Di Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah (ELITE) E6 arah utara, trafik perlahan direkodkan dari Gamuda Cove ke Bandar Saujana Putra, manakala di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) E8 arah barat, trafik perlahan berlaku dari Karak ke Lentang serta Genting Sempah ke Plaza Tol Gombak,” katanya.

Beliau turut menasihatkan pengguna lebuh raya supaya merancang perjalanan, sentiasa fokus ketika memandu serta mengekalkan jarak selamat dengan kenderaan di hadapan.

“Pengguna juga diingatkan supaya memberikan isyarat sebelum menukar lorong dan memastikan baki kad debit, Touch ‘n Go atau e-dompet mencukupi sebelum memulakan perjalanan.

“Maklumat trafik terkini boleh diperoleh menerusi Hotline LLM 1800-88-7752 dari 7 pagi hingga 10 malam, selain saluran LLM Info Trafik, TikTok @llmtrafik, X @llminfotrafik dan Facebook Lembaga Lebuhraya Malaysia,” katanya.

Pengguna turut boleh menyemak keadaan trafik terkini menerusi laman sesawang LLM, serta aplikasi TUJU bagi mendapatkan maklumat trafik dan paparan kamera litar tertutup (CCTV) terkini.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement