Skip to main content

Dunia

Bekas Pengarah FBI, James Comey berdepan tuduhan ugut Presiden Trump di Instagram

FILE PHOTO: FBI Director James Comey testifies before the House Intelligence Committee hearing into alleged Russian meddling in the 2016 U.S. election on Capitol Hill in Washington, U.S., March 20, 2017. REUTERS/Joshua Roberts/File Photo
James Comey menyerah diri kepada pihak berkuasa bagi menghadapi pertuduhan berkaitan dakwaan ugutan terhadap nyawa Presiden AS, Donald Trump, susulan satu hantaran media sosial yang dimuat naiknya sebelum ini. - Gambar Reuters

WASHINGTON: Bekas Pengarah Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat (AS), James Comey, menyerah diri kepada pihak berkuasa bagi menghadapi pertuduhan berkaitan dakwaan ugutan terhadap nyawa Presiden AS, Donald Trump, susulan satu hantaran media sosial yang dimuat naiknya sebelum ini.

Kes itu berpunca daripada hantaran Instagram pada tahun 2025 yang dikongsi Comey, memaparkan gambar kulit siput laut di sebuah pantai yang disusun membentuk nombor “86 47.”

Advertisement

Istilah “86” merupakan slanga yang sering difahami sebagai bermaksud “menyingkirkan” atau “menghapuskan”, manakala Trump ialah Presiden ke-47 Amerika Syarikat. 

Pendakwa mendakwa, hantaran itu boleh ditafsirkan sebagai galakan kepada keganasan terhadap Presiden.

Bagaimanapun, Comey menafikan sebarang salah laku, mendakwa beliau tidak mengetahui maksud sebenar nombor tersebut serta menyifatkan pendakwaan berkenaan bermotifkan politik.

Ini merupakan kali kedua Jabatan Kehakiman AS memfailkan pertuduhan jenayah terhadap Comey, yang sejak sekian lama dikenali sebagai pengkritik lantang Trump.

Comey tidak memasukkan sebarang pengakuan bersalah atau tidak bersalah, dan tidak memberikan kenyataan ketika hadir sebentar di sebuah mahkamah di Virginia pada Rabu.

Peguamnya, Patrick Fitzgerald memaklumkan, Comey akan memohon agar kes itu digugurkan atas alasan pendakwaan terpilih dan bersifat dendam, dengan hujah bahawa anak guamnya disasarkan kerana lantang mengkritik Trump.

Hakim William Fitzpatrick membacakan pertuduhan terhadap Comey. 

Bekas Pengarah FBI itu dilaporkan mengangguk ketika hak-haknya dibacakan dan sempat melemparkan senyuman kepada ahli keluarganya ketika meninggalkan mahkamah, menurut laporan rakan kongsi BBC di AS, CBS News.

Hakim Fitzpatrick turut menolak permohonan Jabatan Kehakiman untuk mengenakan syarat-syarat pembebasan terhadap Comey, dengan menyifatkannya sebagai tidak perlu.

Pendakwa mendakwa Comey dengan sengaja dan secara sedar mengeluarkan ugutan untuk mengambil nyawa serta mencederakan presiden, di samping menyalurkan ugutan membunuh merentasi sempadan negeri — kedua-duanya kesalahan yang membawa hukuman maksimum sehingga 10 tahun penjara bagi setiap pertuduhan.

Dalam satu kenyataan video pada Selasa, Comey berkata beliau bertekad untuk melawan pertuduhan berkenaan.

“Ini bukan penamatnya - tetapi saya masih tidak bersalah, saya tidak gentar, dan saya masih percaya kepada kebebasan sistem kehakiman persekutuan,” katanya.

Hantaran asal Comey pada Mei 2025 memaparkan imej kulit siput di pantai membentuk angka “86 47” dengan kapsyen: “Susunan kulit siput yang menarik semasa berjalan di pantai.”

Susulan reaksi keras orang ramai, Comey memadamkan hantaran itu dan memuat naik kenyataan susulan di Instagram.

“Saya memuat naik gambar kulit siput yang saya lihat semasa berjalan di pantai, yang saya anggap sebagai mesej politik,” tulisnya.

“Saya tidak menyedari ada pihak mengaitkan nombor tersebut dengan keganasan. Ia tidak pernah terlintas di fikiran saya, dan saya menentang keganasan dalam apa jua bentuk, sebab itu saya memadam hantaran tersebut.”

Mengulas pertuduhan berkenaan pada Rabu, Trump menyifatkan Comey sebagai seorang “lelaki yang korup.”

“Jika sesiapa tahu tentang jenayah, mereka tahu maksud 86,” kata Trump. 

“Ia istilah kumpulan mafia untuk membunuh seseorang.”

Apabila ditanya sama ada beliau menganggap hantaran Comey sebagai satu ancaman, Trump menjawab: “Mungkin.”

“Individu seperti Comey telah mewujudkan bahaya besar kepada ahli politik dan orang lain,” tambahnya.

Namun, beberapa pakar undang-undang serta penggubal undang-undang mempersoalkan kekukuhan pertuduhan tersebut.

Senator Republikan, Thom Tillis, berkata beliau berharap “ada lebih daripada sekadar gambar di pasir itu.”

“Jika tidak, saya rasa ini satu contoh di mana kita akan menyesal kerana menetapkan ambang yang terlalu rendah,” katanya.

Bekas pendakwa persekutuan dan bekas Penolong Peguam Negara AS, Jimmy Gurule, menyifatkan pertuduhan terbaharu itu sebagai “satu aib kepada sistem keadilan jenayah Amerika.”

Sementara itu, apabila ditanya sama ada kes itu berpotensi membawa kepada sabitan, Pemangku Peguam Negara AS, Todd Blanche berkata, siasatan telah dijalankan “sepanjang tahun lalu.”

“Jika ada pendakwa yang membuat kenyataan tentang keputusan juri, mereka tidak mematuhi sumpah mereka,” katanya.

Blanche turut menolak dakwaan wujud motif politik di sebalik kes tersebut.

“Orang ramai perlu berhati-hati daripada mengugut nyawa Presiden Trump kerana itu satu jenayah. Titik,” tegasnya.

Dalam penggal kedua pentadbirannya, Trump secara terbuka membayangkan bahawa pegawai Jabatan Kehakiman wajar menyiasat musuh politiknya.

Comey dipecat Trump semasa penggal pertama Presiden itu, selepas beliau membuka siasatan terhadap campur tangan Rusia dalam Pilihan Raya Presiden AS 2016.

Sejak itu, Trump beberapa kali menggesa supaya Comey didakwa, dan pertuduhan terbaharu ini merupakan percubaan kedua pentadbiran Trump untuk berbuat demikian.

Comey sebelum ini didakwa oleh juri persekutuan pada September atas tuduhan berbohong kepada Kongres dan menghalang prosiding perundangan, namun beliau mengaku tidak bersalah.

Kes tersebut digugurkan pada November oleh Hakim Daerah AS, Cameron Currie, yang memutuskan bahawa pelantikan pendakwa Lindsey Halligan sebagai Peguam Negara AS adalah tidak sah, sekali gus menjadikan pertuduhan itu terbatal. - Agensi

Must Watch Video