HAMILTON, KANADA: Keluarga tujuh mangsa insiden tembakan maut di sebuah sekolah di wilayah British Columbia, Kanada, memfailkan saman pada Rabu terhadap OpenAI dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Sam Altman, dengan dakwaan bahawa ChatGPT membantu penyerang merancang pembunuhan beramai-ramai pada Februari di Sekolah Menengah Tumbler Ridge.
Saman itu mendakwa bahawa niat ganas penyerang, yang dikenal pasti sebagai Jesse Van Rootselaar, 18, diketahui oleh pihak OpenAI, lapor Anadolu Ajansi.
Advertisement
Kakitangan syarikat dilaporkan menandakan akaun penyerang itu lapan bulan sebelum serangan, menganggapnya sebagai ancaman yang boleh dipercayai berkaitan keganasan bersenjata dan menggesa pihak pengurusan tertinggi untuk memaklumkan pihak berkuasa Kanada.
Syarikat bagaimanapun didakwa tidak memberi amaran kepada pihak penguat kuasa dan sebaliknya hanya menyahaktifkan akaun itu.
Van Rootselaar kemudiannya berjaya mencipta akaun baharu dengan mengikuti arahan yang diterbitkan oleh OpenAI sendiri untuk pengguna yang akaunnya dinyahaktifkan dan terus menggunakan ChatGPT untuk merancang serangan itu.
Pada 10 Feb, Van Rootselaar membunuh ibunya serta adik lelakinya berusia 11 tahun di rumah mereka sebelum memandu ke sekolah dan melepaskan tembakan, membunuh lima pelajar dan seorang pembantu pengajar serta mencederakan 27 yang lain sebelum bertindak membunuh diri. Mangsa termasuk kanak-kanak berusia 12 dan 13 tahun.
Keluarga mangsa menuduh OpenAI dan Altman cuai, bersubahat dalam serangan tembakan beramai-ramai, menyebabkan kematian secara salah serta bertanggungjawab terhadap liabiliti produk.
Menurut laporan akhbar The Guardian, peguam utama Jay Edelson berkata: “Hakikat bahawa Sam dan kepimpinan syarikat mengatasi pasukan keselamatan dan kemudian kanak-kanak serta orang dewasa terkorban, malah seluruh komuniti musnah, hampir menepati definisi kejahatan bagi saya.”
Pada 23 April, Altman menghantar surat kepada komuniti Tumbler Ridge memohon maaf kerana tidak memaklumkan polis Kanada.
“Walaupun saya tahu kata-kata tidak pernah mencukupi, saya percaya permohonan maaf adalah perlu,” katanya.
Dalam satu hantaran di platform X, Premier British Columbia, David Eby menyifatkan permohonan maaf itu sebagai “amat tidak memadai berbanding kemusnahan yang dialami keluarga Tumbler Ridge.”
Dalam satu kenyataan pada Selasa, OpenAI berkata, pihaknya mempunyai “toleransi sifar” terhadap penggunaan alatnya untuk membantu keganasan dan memperkukuh langkah keselamatan.
“Kami melatih ChatGPT untuk mengenal pasti perbezaan dan menetapkan batas apabila perbualan mula menjurus kepada ancaman, potensi bahaya kepada orang lain atau perancangan di dunia sebenar,” katanya.
-- BERNAMA-ANADOLU