Ringkasan AI
- Bekas Pengarah FBI, James Comey, menegaskan tidak bersalah atas pertuduhan baharu oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat.
- Comey didakwa menyalurkan maklumat pertahanan negara secara tidak sah dan berkomplot untuk melakukan perbuatan itu.
- Kes jenayah terdahulu terhadap Comey digugurkan selepas pelantikan pendakwa raya didapati tidak sah pada November lalu.
WASHINGTON: Bekas Pengarah Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat (AS), James Comey menegaskan bahawa beliau tidak bersalah susulan pertuduhan baharu yang dikenakan terhadapnya oleh Jabatan Kehakiman AS, lapor Sputnik/RIA Novosti.
Comey dituduh menyalurkan maklumat berkaitan pertahanan negara AS secara tidak sah serta berkomplot untuk melakukan perbuatan itu.
"Tiada apa yang berubah. Saya masih tidak bersalah. Saya masih tidak gentar kepada mereka dan saya tetap percaya kepada kebebasan badan kehakiman persekutuan.
"Saya juga bertuah kerana mempunyai keluarga yang hebat serta barisan peguam yang luar biasa. Saya akan mempertahankan diri di mahkamah terhadap pertuduhan terbaharu ini dan apa sahaja yang mungkin menyusul.
“Beberapa tahun akan datang akan menjadi tempoh yang sukar bagi kita semua," katanya menerusi video yang dimuat naik di Instagram.
Pada September, Jabatan Kehakiman AS mendakwa Comey atas kesalahan membuat kenyataan palsu dan menghalang proses keadilan, yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun. Beliau mengaku tidak bersalah pada Oktober.
Bagaimanapun, kes jenayah itu digugurkan pada November berikutan pelantikan pendakwa raya yang didapati tidak sah.
Susulan keputusan itu, Comey menyatakan penghargaan atas pengguguran kes berkenaan, namun membayangkan bahawa Presiden Donald Trump berkemungkinan akan terus mengambil tindakan terhadapnya pada masa depan.
-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI