Berbaki tidak sampai sebulan sebelum pemilihan Presiden Amerika Syarikat, calon Republikan, Donald Trump terus diasak dengan dakwaan seksual.

Dua wanita, masing-masing bekas model dan bekas peserta ‘The Apperentice’ mendakwa mereka dicabul hartawan bidang hartanah itu.

Bekas model, Kristin Anderson memberitahu The Washington Post bahawa calon presiden Republikan itu mencabulnya di sebuah kelab di New York pada sekitar tahun 90an.

Manakala bekas peserta The Apprentice, Summer Zervos mendakwa Trump meraba dan menciumnya dalam satu kejadian di Los Angeles.

Zervos mendedahkan kejadian itu secara terperinci pada satu sidang media yang dihadiri bersama peguam belanya, Gloria Allred.

Menurutnya, apa yang didedahkan bukan kerana ia menjelang pilihan raya tetapi atas dasar memperjuangkan hak sebagai wanita.

“Kamu tiada hak menjadikan wanita sebagai objek seks hanya kerana kamu seorang yang terkenal,” katanya.

Beliau ialah antara beberapa wanita yang tampil membuat dakwaan salah laku seksual ke atas trump, dakwaan yang dinafikan sekeras-kerasnya oleh calon presiden Republikan itu.

Sementara itu, dalam satu majlis, Donald Trump segera menafikan dakwaan yang dibuat dua wanita berkenaan.

Malah, beliau menyifatkan dirinya sebagai mangsa paling buruk dalam sejarah kempen politik di Amerika Syarikat.

Selain itu, Trump juga menyalahkan pihak media dan mengecam pesaingnya daripada Demokrat, Hillary Clinton yang menimbulkan dakwaan berkenaan.

Ujar beliau, dakwaan itu diada-adakan oleh pihak yang dibelenggu rasuah seperti Clinton.

Tambah Trump, majoriti pihak dan penyokongnya maklum bahawa ia sengaja ditimbulkan kerana ia adalah seratus-peratus palsu.