JOHOR BAHRU: Tindakan Barisan Nasional (BN) Johor membuat pengumuman bertanding secara solo pada Pilihan Raya Negeri (PRN) memberi isyarat jelas ruang kerjasama politik dengan Pakatan Harapan (PH) di negeri ini sudah tertutup.
Pengerusi PH Johor, Aminolhuda Hassan berkata, pengumuman Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi itu juga menunjukkan parti itu tidak lagi berminat meneruskan kerjasama dengan PH.
“Bila dia dah kata nak bertanding 56 kerusi, dia sendiri yang menentang. Sebelum konvensyen lagi, Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Suhaizan Kaiat sudah melontarkan persoalan sama ada kerjasama BN-PH boleh dilaksanakan di Johor untuk pilihan raya.
“Tetapi sebelum konvensyen, mereka sudah keluarkan kenyataan begitu, maknanya dia sendiri yang menutup pintu. Dia sendiri isytiharkan tiada kerjasama dengan PH,” katanya.
BACA: PRN Johor: BN sah bertanding semua 56 kerusi DUN
Beliau yang juga Ahli Parlimen Sri Gading ditemui ketika Konvensyen PH 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Johor di sini pada Ahad.
Ditanya sama ada PH masih terbuka untuk meneruskan hubungan dengan BN di Johor, Aminolhuda berkata, pihaknya tidak mahu dilihat terlalu mengharapkan kerjasama tersebut.
“Kita tidak mahu ibarat hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong. Dia dah buat macam itu, tak mengapalah,” katanya.
Beliau turut mengakui pendirian BN Johor itu secara tidak langsung memudahkan hala tuju PH menjelang konvensyen dan PRN akan datang.
Bagaimanapun, beliau berkata hubungan antara PH dan BN di peringkat Persekutuan masih kekal baik seperti ditegaskan pimpinan pusat kedua-dua gabungan.
Sebelum itu pada Ahad, Onn Hafiz yang juga Menteri Besar Johor mengumumkan BN Johor akan bertanding di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN akan datang selepas mengambil kira pandangan rakyat Johor serta suara kepimpinan akar umbi UMNO dan BN negeri. - Sinar Harian