BANGKOK: Bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra kini secara rasmi bebas kurang seminggu selepas menerima pengampunan diraja, menurut Jabatan Pemulihan Thailand pada Selasa.
Thaksin, 76, menjalani hukuman penjara selama lapan bulan daripada tempoh satu tahun atas kesalahan rasuah dan penyalahgunaan kuasa sebelum dibebaskan secara parol bulan lalu atas faktor usia dan kesihatan.
Jabatan itu memaklumkan, beliau sebelum ini diwajibkan memakai peranti pemantauan elektronik sebagai syarat pembebasan.
Ahli perniagaan telekomunikasi itu antara individu yang layak menerima pengampunan diraja pada 3 Jun sempena ulang tahun kelahiran Ratu Suthida, memandangkan beliau mempunyai baki hukuman kurang daripada setahun.
Pada Selasa, pihak berkuasa mengesahkan peranti pemantauan elektronik yang dipakai Thaksin telah ditanggalkan.
“Pihak penjara telah mengeluarkan dokumen pembebasan rasmi serta sijil pelepasan kepada Thaksin,” menurut kenyataan jabatan berkenaan.
Kenyataan itu turut menjelaskan bahawa beliau kini tidak lagi tertakluk kepada sebarang hukuman jenayah, pemantauan atau syarat berkaitan, selaras dengan prosedur yang dikenakan ke atas banduan lain yang layak dibebaskan secara parol.
Thailand secara berkala memberikan pengampunan diraja kepada banduan berkelakuan baik sempena acara diraja utama termasuk sambutan ulang tahun kelahiran raja dan ratu.
Thaksin merupakan antara tokoh paling berpengaruh dalam politik moden Thailand dan pernah berkhidmat selama dua penggal sebagai Perdana Menteri.
Penggal keduanya berakhir lebih awal susulan rampasan kuasa tentera pada 2006, sebelum beliau menghabiskan lebih sedekad dalam buangan sendiri, kebanyakannya di Dubai, sebelum kembali ke Thailand pada 2023.
Media tempatan melaporkan Thaksin dijangka ke Dubai bulan ini, namun tujuan perjalanan tersebut tidak didedahkan.
Wakil guaman beliau belum memberikan maklum balas terhadap permintaan komen.
Parti Pheu Thai yang diasaskannya serta entiti terdahulu merupakan antara gerakan politik paling berjaya di Thailand pada abad ke-21.
Keluarga Shinawatra telah melahirkan empat Perdana Menteri dan sekian lama mendapat sokongan kukuh pengundi luar bandar.
Bagaimanapun, Pheu Thai mencatat keputusan pilihan raya terburuk pada Februari apabila jatuh ke kedudukan ketiga, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai masa depan pengaruh politik Thaksin. - Agensi