Skip to main content

Dunia

Bekas Presiden Paraguay dikenakan tahanan rumah selepas dipecat

Penunjuk perasaan berhimpun di luar bangunan Kongres selepas Senat menyingkirkan Presiden Santiago Peña susulan dakwaan berkaitan kejatuhan Ueno Bank, manakala Pedro Alliana mengangkat sumpah sebagai penggantinya di Asunción, Paraguay, pada Jumaat. - Gambar AP
Penunjuk perasaan berhimpun di luar bangunan Kongres selepas Senat menyingkirkan Presiden Santiago Peña susulan dakwaan berkaitan kejatuhan Ueno Bank, manakala Pedro Alliana mengangkat sumpah sebagai penggantinya di Asunción, Paraguay, pada Jumaat. - Gambar AP
Advertisement

ASUNCION: Bekas Presiden Paraguay, Santiago Peña, dikenakan tahanan rumah pada Jumaat atas syak wasangka melakukan pecah amanah, beberapa jam selepas beliau disingkirkan daripada jawatan susulan skandal kejatuhan sebuah bank utama yang dikaitkan dengan pentadbirannya.

Kesemua 44 senator yang hadir mengundi menyokong usul pemecatan Peña atas salah laku ketika memegang jawatan, menjadikannya presiden kedua Paraguay yang disingkirkan menerusi proses pemecatan sejak negara itu kembali kepada sistem demokrasi pada 1989.

Keputusan itu dibuat tiga hari selepas pihak pengawal selia mengambil alih Ueno Bank, sekali gus menyebabkan hampir separuh daripada lebih enam juta penduduk Paraguay tidak dapat mengakses simpanan dan kad bank mereka.

Advertisement

Krisis berkenaan mencetuskan gelombang kemarahan rakyat dan dianggap sebagai krisis politik paling serius yang dihadapi negara itu dalam tempoh lebih sedekad.

Pihak pendakwa raya mengarahkan Peña dikenakan tahanan rumah sehingga beliau hadir untuk disoal siasat oleh Unit Jenayah Ekonomi pada Sabtu.

Advertisement

"Kami telah mengesahkan beliau berada di kediamannya dan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa bagi semua proses perundangan yang berkaitan," kata pendakwa raya, Silvia Gonzalez.

Menurut undang-undang Paraguay, kesalahan pecah amanah boleh membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau sehingga 10 tahun bagi kes yang dianggap serius.

Kejatuhan Ueno Bank sebelum ini mencetuskan tekanan hebat terhadap pentadbiran Peña selepas jutaan pelanggan terjejas dan akses kepada simpanan mereka dibekukan.

Pemecatan serta tindakan undang-undang terhadap Peña dilihat sebagai perkembangan dramatik dalam landskap politik Paraguay, ketika pihak berkuasa meneruskan siasatan terhadap punca krisis yang melanda sektor perbankan negara itu. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement