AYER KEROH: Calon baharu tidak semestinya kurang pengalaman hanya kerana belum pernah memegang jawatan sebagai wakil rakyat.
Bekas Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari berkata, pengalaman dalam politik dan kerja kemasyarakatan juga perlu diambil kira ketika menilai kebolehan seseorang calon.
Menurutnya, ada calon yang sudah bertahun-tahun terlibat dalam politik dan berkhidmat kepada masyarakat sebelum pertama kali bertanding dalam pilihan raya.
"Kadangkala calon baharu, dia tak ada track record. Tetapi setiap calon itu macam saya pun dulu, walaupun calon baharu.
"Tapi saya dah bergelumang dengan politik 25 tahun sebelum saya jadi Ketua Menteri. Maknanya ada pengalaman bagaimana memberikan khidmat sama ada ketika menjadi wakil rakyat ataupun tidak," katanya ketika wawancara bersama Astro AWANI baru-baru ini.
Adly menjelaskan, penglibatan dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan aktiviti politik turut membentuk rekod perkhidmatan yang boleh dinilai pengundi.
Katanya, pengalaman seseorang calon tidak seharusnya diukur berdasarkan jawatan yang pernah disandang semata-mata.
Dalam pada itu, Adly turut menyentuh soal amalan politik wang yang menurutnya tidak sepatutnya mempengaruhi pilihan pengundi.
Tanpa merujuk kepada mana-mana pihak, beliau berpandangan pemberian wang yang bersifat sementara tidak boleh menggantikan kepentingan dasar jangka panjang.
"Sebolehnya demokrasi ini jangan sampai ke tahap itulah. Kalau kita mengundi, macam kita sebutlah RM200 takkan boleh bertahan sampai lima tahun.
“Tapi yang paling penting adalah dasar yang dibuat," katanya lagi.
Adly yang juga penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil kini mempertahankan kerusi itu bagi penggal ketiga pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 14 November ini.
Antara muka baharu PH yang bertanding pada PRN Melaka kali ini ialah Muhammad Mukhlisul Mubin Julasapiyah (Kuala Linggi), Jason Tze-Xi Nathan (Pengkalan Batu), Muhammad Hakimin Mokhtar (Ayer Molek) dan Poo Long Suan (Duyong).