Bekas Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy mula jalani hukuman penjara lima tahun

Sarkozy ditemani isterinya, Carla Bruni-Sarkozy melambai ke arah petugas media sebaik meninggalkan kediaman mereka pada Selasa, sebelum menuju Penjara La Sante di Paris bagi memulakan hukuman penjara lima tahun. - Gambar Reuters
PARIS: Bekas Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy, menjadi bekas ketua negara pertama dalam sejarah moden Perancis yang dipenjarakan, selepas mula menjalani hukuman penjara lima tahun atas kesalahan berkomplot membiayai kempen pilihan rayanya menggunakan dana daripada bekas pemimpin Libya, Muammar Gaddafi.
Kes ini menjadikan Sarkozy yang memimpin Perancis dari 2007 hingga 2012, sebagai bekas Presiden pertama sejak era Philippe Petain - pemimpin Perancis yang bersekongkol dengan Nazi semasa Perang Dunia Kedua dipenjara pada 1945.
Sarkozy, 70, mula menjalani hukuman di Penjara La Sante di Paris pada Selasa.
Beliau ditempatkan di sayap pengasingan atas faktor keselamatan dan akan menduduki sel kecil berkeluasan antara 9 hingga 11 meter persegi yang dilengkapi tandas, pancuran mandi, meja, dapur kecil serta televisyen yang memerlukan bayaran bulanan 14 euro (RM68).Lebih 100 penyokong dilaporkan bersorak sambil melaungkan namanya ketika beliau meninggalkan kediamannya di daerah ke-16 Paris sambil menggenggam tangan isterinya, bekas penyanyi dan model terkenal, Carla Bruni-Sarkozy.
Sarkozy menegaskan, dirinya tidak bersalah dan memuat naik kenyataan di platform X sebelum tiba di penjara: “Saya tidak ragu. Kebenaran akan terserlah. Namun harga yang harus dibayar amat menyakitkan. Mereka bukan memenjarakan bekas Presiden, tetapi seorang lelaki tidak bersalah.”
Beliau turut menyatakan rasa sedih terhadap “Perancis yang dihina oleh keinginan membalas dendam.”
Peguamnya, Christophe Ingrain mengesahkan permohonan pembebasan sementara telah difailkan, namun menegaskan, bekas Presiden itu mungkin akan berada di dalam penjara sekurang-kurangnya tiga hingga empat minggu sementara menunggu keputusan rayuan.
Presiden Emmanuel Macron mengakui telah menerima Sarkozy di Istana Élysée minggu lalu, menyifatkan pertemuan itu “normal atas dasar kemanusiaan.”
Namun Macron menegaskan, beliau tidak akan mengulas keputusan kehakiman.
Menteri Kehakiman, Gerald Darmanin turut menyatakan hasrat untuk melawat Sarkozy di penjara bagi memastikan kebajikan dan keselamatannya terjamin.
Sarkozy sebelum ini turut berdepan beberapa pertuduhan lain termasuk cubaan menyogok hakim serta penglibatan dalam skandal kewangan Bygmalion, yang membabitkan perbelanjaan berlebihan dalam kempen pilihan raya 2012.
Beliau menafikan semua dakwaan, termasuk tuduhan bahawa kempen pilihan raya 2007 dibiayai oleh jutaan euro dana Libya.
Mahkamah sebelum ini membebaskan beliau daripada pertuduhan menerima wang secara langsung, namun mendapati beliau bersalah kerana bersekongkol dengan dua pembantunya, Brice Hortefeux dan Claude Guéant dalam skim pembiayaan rahsia tersebut.
Dalam satu temu bual dengan akhbar La Tribune sebelum dipenjarakan, Sarkozy berkata: “Saya tidak akan tunduk atau berasa malu walaupun dipenjarakan.”
Ketika menjalani hukuman, beliau hanya dibenarkan keluar selama satu jam sehari untuk bersenam secara bersendirian di kawasan berasingan dan dibenarkan menerima lawatan keluarga serta berhubung melalui surat atau telefon. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami