Skip to main content
Advertisement

Dunia

AS bekerjasama dengan UK tahan 5 lelaki dekat Pangkalan Tentera Udara RAF Fairford, kata Trump

] A police officer blocks a road near the RAF Fairford airbase, which hosts United States Air Force (USAF) personnel, in Fairford, Gloucestershire, Britain, September 27, 2026. REUTERS
Pihak berkuasa Amerika bekerjasama rapat dengan perkhidmatan keselamatan Britain untuk menahan lima lelaki berhampiran pangkalan Tentera Udara Diraja (RAF) Fairford di barat England. - Gambar Reuters
Advertisement

ISTANBUL: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berkata pada Ahad, pihak berkuasa Amerika bekerjasama rapat dengan perkhidmatan keselamatan Britain untuk menahan lima lelaki berhampiran pangkalan Tentera Udara Diraja (RAF) Fairford di barat England, menurut Anadolu Ajansi.

"Mereka berhasrat untuk melakukan kerosakan besar pada pangkalan kami," kata Trump kepada wartawan selepas tiba di Negeri Illinois, AS untuk satu kejohanan golf.

"Penahanan di UK itu amat hebat ... kami telah menjejak mereka di dalam siasatan," katanya, sambil menambah bahawa AS telah meletakkan suspek di bawah pemantauan untuk tempoh yang lama sebelum penahanan dibuat.

Pihak berkuasa Britain mengisytiharkan insiden utama pada Ahad di sebuah kampung bersebelahan kemudahan ketenteraan berkenaan, memindahkan 85 isi rumah selepas polis menahan lima suspek di bawah Akta Bahan Letupan. 

Polis Antipengganas UK mengesahkan individu berkenaan ditahan kerana disyaki merancang tindakan keganasan.

Pangkalan Tentera Udara Diraja itu yang menempatkan operasi Tentera Udara AS, telah menyokong misi menentang Iran sejak Februari di tengah-tengah konflik Asia Barat yang semakin meluas.

Penahanan itu menyusul selepas langkah perlindungan ditingkatkan di sekitar kemudahan berkenaan selepas Britain mengesahkan pada Julai bahawa angkatan tenteranya bersedia untuk mempertahankan diri daripada potensi tindak balas berikutan amaran daripada Kor Pengawal Revolusi Islam Iran mengenai pesawat pengebom Amerika yang beroperasi dari Fairford.

-- BERNAMA-ANADOLU 

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement