KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) di Selangor berkurangan, manakala di Perak mencatatkan sedikit peningkatan setakat 8 pagi ini.
Di SELANGOR, sebanyak 1,493 mangsa daripada 398 keluarga masih berlindung di tujuh PPS di Kuala Selangor, berbanding 1,511 mangsa daripada 405 keluarga pada petang semalam.
Menurut portal InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Mahang menempatkan jumlah mangsa tertinggi, iaitu 433 orang, diikuti SK Dato' Maharaja Lela (391), Sekolah Rendah Agama (SRA) Bukit Kuching (303), Dewan Orang Ramai Bukit Kuching Tengah (131) dan Kafa Integrasi Hidayah Bukit Cherakah (114).
Dua lagi PPS ialah SRA Batu 8 Ijok yang menempatkan 71 mangsa dan Dewan Komuniti Penyayang Tanjung Siam (50).
Sementara itu, di PERAK, jumlah mangsa banjir di daerah Hilir Perak meningkat kepada 293 orang daripada 85 keluarga, berbanding 227 orang daripada 66 keluarga pada petang semalam.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan PPS Dewan Rumah Rehat Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) menempatkan 199 mangsa daripada 60 keluarga, manakala 94 mangsa daripada 25 keluarga berlindung di PPS SK Khir Johari.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan ribut pada sebelah pagi hingga malam di beberapa kawasan di Perak, melibatkan daerah Larut, Matang dan Selama, Kerian, Manjung, Hilir Perak, Bagan Datuk, Kinta dan Kampar.
-- BERNAMA