Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad membidas Myanmar atas apa yang berlaku terhadap nasib golongan Rohingya di Rakhine.

Dengan mempersoal penerima Anugerah Nobel Keamanan Laureate, Aung San Suu Kyi, Dr Mahathir berkata tidak bererti sebuah negara yang merdeka, bebas untuk melakukan apa sahaja.

“Di Myanmar, umat Islam di Rakhine dibunuh, rumah mereka dibakar serta jutaan pelarian telah dipaksa untuk melarikan diri hingga lemas di lautan, tinggal di pondok sementara, tanpa air dan makanan, tanpa sistem sanitasi yang sempirna.

“Bagaimanapun, pihak berkuasa Myanmar termasuk penerima Anugerah Nobel Keamaan Laureate menafikan perkara ini berlaku.

“Tapi adakah dunia tidak melakukan apa-apa terhadap pembunuhan yang berlaku?

“Semua negara bebas (untuk melakukan apa-apa). Tapi adakah ini bermakna mereka mempunyai hak untuk membunuh rakyat sendiri, hanya disebabkan mereka adalah bebas?” kata beliau pada sesi perbahasan umum Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNGA) Ke-73 di sini hari ini.

Ujar beliau, walaupun beliau kekal dengan prinsip untuk tidak masuk campur terhadap hal ehwal negara lain, namun pembunuhan massa yang berlaku tidak bermakna negara lain serta badan dunia perlu ‘menutup mulut’.