THE HAGUE: Kerajaan Belanda pada Isnin mengumumkan pakej sokongan ekonomi bernilai 967 juta euro (US$1.14 bilion) bagi mengurangkan kesan kenaikan harga tenaga terhadap isi rumah dan perniagaan susulan konflik di Asia Barat, lapor Xinhua.
Pakej itu merangkumi perbelanjaan sebanyak 627 juta euro (US$739 juta) untuk menyokong kuasa beli, di samping 340 juta euro (US$401 juta) dalam bentuk langkah cukai bersasar yang bertujuan memperkukuh daya tahan perniagaan.
Advertisement
“Harga tenaga dijangka kekal tinggi buat sementara waktu, walaupun konflik di Asia Barat berakhir dalam tempoh terdekat. Isi rumah dan perniagaan kini sudah pun merasai kesannya,” menurut kerajaan dalam satu kenyataan.
Bagi membiayai langkah berkenaan, kerajaan akan melaksanakan beberapa pelarasan cukai, termasuk mengurangkan insentif elaun pelaburan berskala kecil dengan menurunkan had maksimum pelaburan yang layak, memansuhkan elaun syarikat pemula mulai 2027, serta menaikkan duti eksais alkohol mulai tahun yang sama, menurut kenyataan itu.
Pada 16 April, satu laporan oleh ING Think, badan pemikir yang memfokuskan ekonomi global, memberi amaran bahawa momentum ekonomi Belanda perlahan susulan lonjakan harga tenaga.
-- BERNAMA-XINHUA