DUNIA
Belum ada persetujuan untuk sambung rundingan dengan AS, kata Iran

Araghchi mengesahkan bahawa kerosakan akibat perang 12 hari dengan Israel adalah "serius" dan pakar daripada Pertubuhan Tenaga Atom Iran sedang menjalankan penilaian terperinci. - Gambar Instagram
TEHRAN/WASHINGTON: Menteri Luar Iran Seyed Abbas Araghchi berkata pada Khamis bahawa tiada sebarang pengaturan atau komitmen dibuat untuk menyambung semula rundingan dengan Amerika Syarikat, lapor Xinhua.
Dalam wawancara dengan penyiar negara IRIB, Araghchi berkata kemungkinan untuk memulakan semula rundingan sedang dipertimbangkan tetapi ia bergantung kepada sama ada kepentingan negara Iran dilindungi.
Beliau mengesahkan bahawa kerosakan akibat perang 12 hari dengan Israel adalah "serius" dan pakar daripada Pertubuhan Tenaga Atom Iran sedang menjalankan penilaian terperinci.
Pada hari sama, Setiausaha Akhbar Rumah Putih Karoline Leavitt mengesahkan bahawa Amerika Syarikat tidak mempunyai sebarang mesyuarat yang dijadualkan dengan Iran, sehari selepas Presiden AS Donald Trump berkata kedua-dua pihak akan berbincang dan bertemu "minggu depan."Juga pada Khamis, Majlis Perlembagaan Iran meluluskan satu Rang Undang-Undang yang telah diluluskan parlimen untuk menggantung kerjasama negara itu dengan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).
Jurucakap majlis, Hadi Tahan Nazif berkata dalam wawancara dengan IRIB TV bahawa rang undang-undang itu telah disemak oleh majlis dan selaras dengan peraturan agama, undang-undang dan perlembagaan Iran.
Susulan kelulusan itu, Speaker Parlimen Iran Mohammad Bagher Ghalibaf berkata rang undang-undang berkenaan telah diserahkan kepada kerajaan untuk pelaksanaan.
-- BERNAMA
Dapatkan berita terkini di sini


Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami