GENEVA: Kejadian bencana seperti banjir dan gelombang haba yang dipacu perubahan iklim telah meningkat sebanyak lima kali ganda sepanjang tempoh 50 tahun, dan mengorbankan lebih 2 juta orang serta mengakibatkan kerugian bernilai AS$3.64 triliom keseluruhannya, lapor sebuah agensi Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) pada Rabu.

Pertubuhan Meteorologikal Dunia (WMO) menyatakan, kaji selidik "Atlas" yang direkodkannya merupakan pemantauan yang paling komprehensif tentang angka korban dan kerugian ekonomi akibat cuaca, air dan iklim melampau.

Ia menyimpan data pemantauan kira-kira 11,000 bencana yang terjadi antara tahun 1970 hingga 2019, termasuk malapetaka besar seperti kemarau di Ethiopia pada 1983 yang menyebabkan 300,000 kematian, dan Taufan Katrina pada 2005 yang menyebabkan kerugian sejumlah AS$163.6 bilion.

Hasil kajian WMO itu yang didedahkan beberapa hari selepas Taufan Ida melanda selatan Louisiana, juga merakamkan tentang laporan kekerapan yang semakin tinggi bagi perubahan iklim dan juga huraian bencana.

“Penambahbaikan dalam sistem amaran awal banyak membantu mengurangkan angka korban dalam kes-kes seumpamanya, namun berita buruknya adalah kerugian ekonomi yang semakin besar dan ia menunjukkan tanda akan berterusan.

"Kita bakal menyaksikan lebih banyak iklim ekstrem kerana perubahan iklim dan trend negatif ini akan berterusan dalam dekad-dekad mendatang,” ujar Setiausaha Agung WMO, Petteri Taalas.



Laporan tersebut menunjukkan trend yang pantas, dengan bilangan bencana berganda hingga lima kali dari tahun 1970-an hingga ke dekad terkini. Ia memberi petanda bahawa kejadian cuaca ekstrem akan semakin kerap berlaku gara-gara pemanasan global.

Kos kerugian daripada kejadian bencana itu juga melonjak, dari AS$175.4 bilion pada tahun 1970-an, kepada AS$1.38 trilion apabila ribut Harvey, Maria dan Irma membadai Amerika Syarikat.

Sementara kemusnahan menjadi lebih kerap dan menyebabkan kerugian besar, angka kematian tahunan pula menunjukkan penurunan, daripada lebih 50,000 pada tahun 1970-an kepada 18,000 pada tahun 2010. Itu menunjukkan bahawa perancangan dan persediaan yang lebih baik untuk mendepani bencana alam membuahkan hasil.

Laporan daripada WMO itu diharap dapat memberikan perincian mendalam berdaarkan rantau, dan akan digunakan untuk membantu kerajaan-kerajaan membangunkan dasar yang lebih baik demi melindungi manusia.