NAKHON RATCHASIMA: Suasana cemas menyelubungi pekarangan Sekolah Ban Na Di di daerah Sikhiu apabila seorang bapa melepaskan tembakan selepas berang kerana anaknya masih tidak pandai membaca dan mengira, lapor Bangkok Post.
Dalam kejadian pada Isnin, lelaki yang dikenali sebagai Manachai Chanthasom, 54, melepaskan dua das tembakan ke udara ketika berada dalam keadaan mabuk menggunakan pistol jenis .38.
Ketua Polis Sikhiu, Pol Col Thatchaphon Chinnawong mengesahkan tiada kecederaan atau kerosakan harta benda dilaporkan dalam insiden tersebut.
Menurut beliau, lelaki berkenaan datang ke sekolah untuk menjemput anaknya sebelum terlibat dalam pertengkaran dengan seorang guru kerana tidak berpuas hati dengan tahap akademik anaknya.
Suspek kemudian melepaskan tembakan sebelum melarikan diri menggunakan sebuah lori pikap, namun berjaya ditahan polis di sebuah kampung berhampiran tidak lama selepas kejadian.
Polis turut merampas senjata api yang digunakan dan suspek kini berdepan dakwaan memiliki senjata api serta peluru secara haram, membawa senjata api di tempat awam tanpa alasan munasabah dan memandu di bawah pengaruh alkohol.
Tinjauan di sekolah yang mempunyai kira-kira 30 pelajar dan dikelilingi kawasan hutan itu mendapati keadaan kembali terkawal selepas kejadian berkenaan.
Insiden itu turut mencetuskan perhatian terhadap isu keselamatan di kawasan sekolah serta pemilikan senjata api di Thailand.