Skip to main content

Malaysia

Keputusan pembangunan perlu pertimbang kesan terhadap komuniti luar sempadan projek - Fadillah

Fadillah melawat reruai pameran pada ICEWR 2026 hari ini. - Gambar Bernama
Fadillah melawat reruai pameran pada ICEWR 2026 hari ini. - Gambar Bernama
Advertisement

PUTRAJAYA: Keputusan pembangunan melibatkan pembersihan tanah, pengubahsuaian sungai dan kawasan tadahan air mesti mengambil kira potensi kesan terhadap komuniti di luar sempadan projek, terutamanya mereka yang tinggal di kawasan hilir, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata keputusan pembangunan di kawasan hulu boleh memberi kesan berpanjangan di luar sempadan projek, terutamanya semasa Malaysia berhadapan cabaran yang semakin kompleks melibatkan banjir, perubahan corak taburan hujan dan perubahan iklim.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata daya tahan air perlu kekal sebagai keutamaan strategik negara yang mencorakkan perancangan bandar, pengurusan tanah, perlindungan kawasan tadahan air dan pelaksanaan pelaburan infrastruktur.

Advertisement

“Apa yang berlaku di hulu memberikan kesan di hilir. Keputusan untuk membersihkan tanah, mengubah suai sungai atau membangunkan kawasan tadahan boleh menjejaskan komuniti jauh di luar sempadan sesuatu projek,” katanya.

Fadillah berkata demikian semasa merasmikan Persidangan Antarabangsa mengenai Ekohidrologi dan Daya Tahan Air (ICEWR 2026) yang diadakan kali pertama di sini hari ini.

Advertisement

Beliau menegaskan setiap keputusan pembangunan sepatutnya mengambil kira sumber air, bagaimana ia mengalir dan siapa yang terjejas memandangkan sistem air saling berhubung kait tanpa mengira sempadan pentadbiran.

Beliau berkata perubahan iklim, pembangunan bandar yang pesat, peningkatan permintaan air dan kekerapan cabaran berkaitan air memerlukan perancangan masa depan dan penyelarasan lebih teliti dalam menguruskan sumber air negara.

Timbalan Perdana Menteri berkata empangan, rangkaian saliran dan struktur tebatan banjir kekal penting dalam melindungi komuniti, namun keberkesanannya boleh dipertingkatkan dengan memelihara ekosistem semula jadi di sekelilingnya. 

Beliau berkata kawasan tadahan air yang terpelihara berperanan penting dalam mengawal aliran air manakala tanah lembap berupaya menyimpan air, memperlahankan pergerakannya dan membantu menapis bahan pencemar.

Fadillah berkata penyelesaian berasaskan alam semula jadi, apabila direka bentuk dan diselenggara dengan baik, mampu melengkapi infrastruktur kejuruteraan konvensional dalam menangani risiko berkaitan air serta memberikan manfaat alam sekitar yang lebih luas.

Selain itu, beliau menekankan kepentingan kerjasama lebih erat dalam kalangan agensi bertanggungjawab terhadap pengurusan air, perlindungan alam sekitar, perancangan guna tanah dan pembangunan infrastruktur bagi memastikan keputusan yang lebih efektif dan bersepadu.

“Air menghubungkan tindakan kita walaupun tanggungjawab pentadbiran kita terpisah,” katanya.

Fadillah berkata Malaysia telah membangunkan pendekatan praktikal berkaitan pengurusan sungai, tebatan banjir, saliran bandar dan pengurusan air hujan secara mampan dengan sokongan institusi penyelidikan serta universiti.

Antara contoh ialah tiga Tapak Demonstrasi Ekohidrologi UNESCO, iaitu Tasik dan Wetland Putrajaya, Projek Pengurusan Air Ribut Mampan di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Johor dan Sistem Saliran Bio-Ekologikal (BIOECODS) di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.

Beliau berkata tapak tersebut berfungsi sebagai platform untuk penyelidik, pembuat dasar dan jurutera menilai penyelesaian serta mengenal pasti pendekatan yang boleh disesuaikan untuk dilaksanakan di tempat lain.

Fadillah turut menggesa agar bukti saintifik serta pengalaman praktikal diterapkan dalam perancangan pembangunan dan pelaburan infrastruktur dengan penyelesaian yang berjaya diuji, dinilai dan diperluaskan di lokasi bersesuaian.

Beliau berkata perkongsian yang lebih kukuh, penyelidikan dan penyertaan komuniti penting untuk mencapai kejiranan yang lebih selamat, sungai yang lebih sihat serta bandar yang lebih bersedia menghadapi perubahan iklim.

“Daya tahan air bermula sebelum amaran pertama dan sebelum banjir pertama (berlaku). Ia bermula dengan pilihan yang kita buat pada hari ini,” katanya.

Persidangan dua hari bermula hari ini dianjurkan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran serta Humid Tropics Centre (HTC) Kuala Lumpur dengan kerjasama UNESCO, UTHM dan rakan strategik lain.

Bertemakan Ecohydrology and Water Resilience: Advancing Nature-Based Solutions for Sustainable Water Systems, persidangan itu menghimpunkan 200 peserta termasuk pembuat dasar, wakil industri, ahli akademik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan rakan antarabangsa bagi memupuk kerjasama mampan ke arah masa depan air yang selamat dan terjamin.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement