JOHOR BAHRU: Kerajaan Negeri Johor mengenal pasti 337 lokasi hotspot banjir dan 67 jalan raya berisiko di seluruh negeri, sebagai persediaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) 2026/2027.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata sehubungan dengan itu, penyelarasan bersama Jabatan Kerja Raya, Jabatan Pengairan dan Saliran, pihak berkuasa tempatan, pejabat daerah serta agensi berkaitan akan diperkukuh bagi memastikan tindakan dapat dilaksanakan secara bersepadu.
Beliau berkata pihaknya mengambil langkah proaktif dalam memperkukuh kesiapsiagaan bagi mengurangkan risiko banjir dengan mengambil kira keadaan geografi, sistem sungai, kawasan tadahan hujan, infrastruktur sedia ada serta rekod kejadian banjir terdahulu.
"Daerah Muar mencatatkan lokasi hotspot tertinggi iaitu 65, diikuti Johor Bahru (44), Batu Pahat (41), Kota Tinggi (35), Tangkak (26), Mersing (22), Pontian (19), Kluang dan Segamat masing-masing (29) serta Kulai (27).
"Keutamaan kita adalah memastikan kawasan-kawasan ini diberi perhatian awal, khususnya melibatkan jalan raya, jambatan, sistem perparitan, saliran utama serta penempatan yang berpotensi terjejas akibat hujan lebat berterusan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohamad Fazli berkata sebanyak 67 lokasi berisiko di jalan persekutuan dan jalan negeri turut dikenal pasti membabitkan tiga daerah iaitu 30 di Kota Tinggi, Batu Pahat (21) serta Segamat (16).
Beliau berkata persediaan yang dilaporkan termasuk kerja penyelenggaraan turapan jalan bernilai RM11.79 juta, kerja bukan turapan RM3.20 juta serta peruntukan Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) RM1.92 juta bagi kerja-kerja berkaitan saliran di Batu Pahat.
Selain itu, langkah pemetaan hotspot, pelaporan eBencana dan projek berkaitan merangkumi Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Johor Fasa 1, RTB Sungai Pemandi dan projek mengatasi banjir di Kampung Sungai Kapal Lama, Pengerang di Kota Tinggi.
"Pada masa sama, kita menyeru orang ramai supaya sentiasa berwaspada, mengikuti amaran cuaca rasmi dan mematuhi arahan keselamatan, khususnya apabila melibatkan laluan dinaiki air," katanya.
-- BERNAMA